Berita dan Foto : Aimi Sani
SUBOK, Ahad, 15 Februari. - Majlis Perundingan Kampung (MPK) Belimbing, mengadakan Majlis Doa Arwah Sekampung dan Penyampaian Derma Anak-anak Yatim bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Masjid Kampung Belimbing Subok, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ketua Kampung Belimbing. Turut hadir sebagai tetamu khas, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Pemangku Penghulu Mukim Kianggeh, Ketua Kampung Subok.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Penghulu Mukim Kota Batu, Penghulu Mukim Berakas 'B' serta Ketua-ketua Kampung Mukim Kota Batu.
Majlis dianjurkan sebagai tanda penghormatan kepada ahli keluarga dan warga kampung yang telah pergi serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti.
Pengisian acara diselajurkan dengan penyampaian derma anak-anak yatim yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis. Sumbangan tersebut adalah sebagai usaha kecil penduduk kampung untuk membantu golongan yang memerlukan. Kemudian majlis diteruskan dengan Bacaan Tahlil dan Doa Arwah dan diakhiri dengan bacaan doa sebelum menikmati jamuan.