Siaran Akhbar : Brunei Darussalam Central Bank
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 13 Februari. - Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa Senarai Amaran BDCB telah dikemas kini. Senarai Amaran BDCB menyenaraikan individu atau syarikat yang pada masa ini tidak dilesenkan, dibenarkan atau dikawal selia oleh BDCB.
Senarai Amaran ini dikeluarkan untuk mengingatkan orang awam agar sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya serta tidak menganggap individu atau syarikat dalam senarai tersebut telah mendapat lesen, kebenaran, atau dikawal selia oleh BDCB. Senarai ini tidak menjejaskan sebarang penilaian lanjut oleh BDCB ke atas aktiviti individu berkaitan.
Dalam masa yang sama, BDCB memaklumkan bahawa syarikat atau individu berikut telah dimasukkan ke dalam Senarai Amaran : Rashidah Miller (profil FB) / +673 8646689.
Senarai Amaran BDCB boleh didapati di laman sesawang BDCB. BDCB mengingatkan orang ramai supaya hanya berurusan dengan institusi kewangan yang dilesenkan oleh BDCB dan mengelakkan mana-mana syarikat atau individu yang tidak berlesen yang menjalankan atau menawarkan perkhidmatan kewangan.
Produk dan perkhidmatan kewangan yang perlu dilesenkan oleh BDCB termasuk perkhidmatan kiriman wang, penukaran wang dan pemberian pinjaman wang. Orang ramai diingatkan bahawa mereka tidak akan mendapat perlindungan di bawah rangka kerja kawal selia BDCB sekiranya berurusan dengan syarikat atau individu yang tidak berlesen atau tidak dikawal selia.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang BDCB di 'www.bdcb.gov.bn' atau mengikuti Instagram BDCB '@centralbank.brunei' untuk maklumat lanjut mengenai bahaya entiti kewangan tidak berlesen serta cara mengenal pasti penipuan kewangan.
BDCB kekal komited dalam memastikan kestabilan kewangan Negara Brunei Darussalam (NBD) serta melindungi sistem kewangan dan kepentingan pengguna kewangan di NBD. BDCB juga akan terus memantau secara aktif sebarang aktiviti kewangan yang mencurigakan atau tidak berlesen di NBD.