Presiden BAJA terima Anugerah Penghargaan Duta Besar Jepun



Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Hernie Suliana Haji Othman






SUNGAI TILONG, Jumaat, 13 Februari. - Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam (NBD) mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Penghargaan Duta Besar kepada Presiden Persatuan Alumni Jepun Brunei (BAJA), Dayang Hajah Najmina Fairuz binti Haji Abd. Latif, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam mempromosikan persahabatan serta pertukaran pendidikan antara Jepun dan NBD.


Penyampaian anugerah penghargaan tersebut disempurnakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke NBD, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka pada majlis yang berlangsung di kediaman Duta Besar Jepun di Kampung Sungai Tilong, di sini.


BAJA merupakan sebuah organisasi yang dianggotai oleh rakyat NBD yang terdiri daripada penerima Biasiswa Kerajaan Jepun (MEXT) serta individu yang pernah melanjutkan pengajian di Jepun, yang berperanan menyatukan para alumni dan memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara.


Tahun ini menandakan Ulang Tahun Ke-40 penubuhan BAJA, dan anugerah tersebut turut mengiktiraf kepimpinan serta sumbangan Dayang Hajah Najmina Fairuz sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai presiden sejak tahun 2018.


Di bawah kepimpinan beliau, BAJA giat menyokong pelbagai acara yang mempromosikan budaya dan bahasa Jepun, termasuk Festival Kebudayaan Jepun dan Ujian Kemahiran Bahasa Jepun.


Di samping itu, beliau juga aktif mempromosikan peluang melanjutkan pengajian ke Jepun dengan menyertai Ekspo Pengajian Tinggi serta sesi perkongsian pengalaman yang mengetengahkan kisah dan manfaat yang diraih oleh Ahli-ahli BAJA.


Sejurus selepas majlis penyampaian anugerah tersebut, satu majlis ramah mesra telah diadakan yang menghimpunkan ahli-ahli BAJA, Persatuan Persahabatan Brunei–Jepun (BJFA), BERSATU (SSEAYP International Brunei) serta para peserta program pertukaran belia tahun ini seperti JENESYS bagi meraikan serta mengukuhkan lagi hubungan silaturahim antara mereka.


Anugerah Penghargaan Duta Besar merupakan pengiktirafan yang dianugerahkan oleh Duta Besar dan Konsul Jeneral Jepun di pelbagai negara dan wilayah kepada individu serta organisasi yang telah menyumbang secara signifikan dalam mempertingkatkan persefahaman dan persahabatan antara Jepun dan negara-negara lain.


Close