Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland / Foto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Belimbing
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 13 Februari. - Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kampung Belimbing dengan kerjasama penduduk setempat telah mengadakan Majlis Gotong-Royong Membersihkan Tanah Perkuburan Orang-orang Islam Nuri (Jahirat Nuri), di Kampung Belimbing, pagi tadi.
Hadir selaku Pengerusi Majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ketua Kampung Belimbing.
Majlis ini diadakan sebagai manifestasi tanggungjawab bersama dalam memelihara kebersihan, kesucian dan kehormatan tanah perkuburan, di samping menzahirkan rasa takzim serta penghormatan kepada ahli keluarga dan masyarakat yang telah kembali ke rahmatullah.
Aktiviti gotong-royong merangkumi kerja pembersihan menyeluruh kawasan perkuburan termasuk pemotongan rumput, pembuangan sampah sarap, serta pencantasan dahan dan semak samun yang menghalang laluan. Setelah selesai kerja pembersihan, majlis diteruskan dengan bacaan Tahlil secara berjemaah.
Turut hadir, Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram yang menzahirkan sokongan terhadap usaha memupuk semangat kebersamaan dan budaya bergotong-royong dalam kalangan Masyarakat. Penyertaan juga melibatkan ketua kampung, Ahli-ahli MPK Belimbing, golongan belia serta penduduk kampung.
Aktiviti seumpama ini diharap akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan tanah perkuburan sentiasa terpelihara, di samping mengukuhkan perpaduan dan kerjasama dalam kalangan penduduk kampung.