Projek memperkukuh semangat kerjasama, perpaduan



Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Hernie Suliana Haji Othman 





TUTONG, Jumaat, 13 Februari. - Majlis Doa Selamat dan Kerja Gotong-Royong bagi merobohkan sebahagian rumah telah diadakan pagi tadi di kediaman Awang Abd. Qawi bin Mohd. Tamin di Kampung Bukit Ukong, Mukim Ukong sebagai salah satu pelaksanaan Projek Khidmat Masyarakat anjuran Majlis Perundingan Mukim (MPM) Ukong.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya'akub, Penghulu Mukim Ukong.


Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan, keselamatan dan kelancaran sepanjang pelaksanaan kerja-kerja gotong-royong yang dijalankan.


Projek berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan MPM Ukong dalam membantu meringankan beban pemilik kediaman yang memerlukan bantuan melalui pelaksanaan Projek Khidmat Masyarakat.


Selain itu, ia juga bertujuan untuk memupuk dan memperkukuhkan semangat kerjasama, perpaduan serta nilai bergotong-royong dalam kalangan penduduk Mukim Ukong tanpa mengira latar belakang.


Program ini diadakan khusus untuk membantu penduduk yang memerlukan sokongan dalam membaik pulih kediaman mereka, sambil memberi peluang kepada komuniti setempat untuk bergotong-royong.


Sumbangan berupa tenaga dan keperluan program turut diberikan oleh Syarikat VSL Systems (B) Sdn. Bhd. serta Platun Rintis Serang dan Platun Civil Military Coordination (CIMIC), BN2 Tentera Darat Diraja Brunei, Tutong Kem yang hadir memberikan bantuan sepanjang aktiviti dijalankan.


Melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ini, ia secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim, memperkukuhkan jaringan kerjasama komuniti serta menyokong usaha kerajaan dalam memperkasa pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat.


Kerja-kerja gotong-royong tersebut melibatkan Ahli-ahli MPM Ukong, penduduk kampung serta pihak-pihak berkaitan yang bersama-sama berganding bahu menjayakan projek berkenaan.


Usaha seumpama ini juga mencerminkan komitmen berterusan MPM Ukong dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.


Sehubungan itu, majlis berkenaan diharapkan bukan sahaja dapat memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan penduduk Mukim Ukong, malah menjadi satu amal jariah dan usaha murni yang diberkati Allah Subhanahu Wata'ala. Semoga segala kerja-kerja yang dijalankan dipermudahkan, diberkati dan memberi manfaat kepada semua pihak serta sentiasa mendapat rahmat dan lindungan-Nya.


Dalam pada itu, semasa ditemu bual oleh Pelita Brunei, Yang Berhormat Ahli MMN, antara lain menjelaskan tujuan utama projek ini adalah untuk membaiki rumah golongan yang memerlukan, termasuk membaiki dinding, atap, tiang rumah dan sebagainya. Pada masa ini katanya, projek masih berjalan dan dijangka siap tahun ini, insyaaAllah, tiga buah rumah yang disasarkan akan berjaya disiapkan.


“Saya ingin menyarankan kepada ahli-ahli Biro Kemasyarakatan yang telah menjayakan projek ini, di mana projek ini dapat dilaksanakan hasil sumbangan daripada pihak swasta, Ahli Jawatankuasa MPM dan penduduk kampung. Mereka ini telah meluangkan masa serta memberikan sumbangan dan komitmen yang tinggi bagi memastikan kejayaan projek tersebut," ujar Yang Berhormat.


Close