Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
GADONG, Jumaat, 13 Februari. - Bagi meraikan Ulang Tahun Kemenangan Revolusi Islam di Republik Islam Iran Ke-47 (Hari Kebangsaan Republik Islam Iran), Kedutaan Republik Islam Iran di Negara Brunei Darussalam (NBD) malam tadi mengadakan Majlis Resepsi yang berlangsung di Songket Ballroom, The Rizqun International Hotel, di sini.
Hadir bagi mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.
Hadir sama, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran ke NBD, Tuan Yang Terutama Mohammad Taghi Rajabi dan isteri.
Atur cara dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan NBD, 'Allah Peliharakan Sultan' dan Lagu Kebangsaan Republik Islam Iran, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan Doa Selamat.
Tuan Yang Terutama Mohammad Taghi Rajabi dalam ucapannya, menekankan bahawa Revolusi Islam Iran bukan sekadar peralihan kuasa politik semata-mata, tetapi merupakan manifestasi kehendak negara yang pada tahun 1979 telah berjaya mengalahkan pemerintahan diktator yang bergantung kepada kuasa asing.
Revolusi berkenaan telah menjadi titik permulaan bagi penubuhan kedaulatan negara, pemerintahan rakyat, dan pemulihan maruah serta kemerdekaan negara Republik Islam Iran, tambah Tuan Yang Terutama lagi.
Sepanjang lima dekad yang lalu, TYT menjelaskan meskipun berhadapan dengan pelbagai tekanan dan sekatan yang tidak adil, Republik Islam Iran telah mencapai kemajuan yang ketara dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi, kesihatan, perindustrian, dan pembangunan infrastruktur dengan bergantung kepada keupayaan dalam negeri dan tenaga manusia yang berkebolehan.
TYT turut menyentuh mengenai isu global yang penting, terutamanya keadaan di Gaza, yang digambarkannya bukan sekadar peperangan atau isu politik semata-mata, tetapi adalah satu ujian terhadap keadilan, undang-undang antarabangsa, dan ketertiban dunia.
TYT seterusnya menegaskan bahawa apa yang berlaku di Palestin adalah pembinasaan yang disengajakan terhadap kehidupan orang awam secara besar-besaran, dan ia adalah satu pembunuhan beramai-ramai.
Menurut TYT, keamanan dan kestabilan hanya dapat dicapai melalui kebertanggungjawaban, pengakhiran pendudukan, dan realisasi hak-hak rakyat Palestin.
Dalam konteks hubungan dua hala, TYT menyatakan bahawa Republik Islam Iran sangat menghargai hubungan dengan NBD yang telah terjalin erat selama lebih tiga dekad atas dasar saling hormat-menghormati.
Kemuncak majlis ialah memotong kek ulang tahun yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama dengan TYT Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran ke NBD.
NBD dan Republik Islam Iran antara dua buah negara yang mempunyai persamaan dari segi sejarah, budaya dan agama serta mempunyai banyak minat sama yang membuatkan kedua-dua buah negara lebih rapat dan meningkatkan hubungan serta kerjasama dalam pelbagai aspek.