Hengyi Industries lancar Projek SINAR



​​​​

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohammad Hasif Matzin






MUARA, Khamis, 12 Februari. - Hengyi Industries Sdn. Bhd. (Hengyi Industries) menandakan satu pencapaian penting dalam langkah kelestariannya dengan perasmian rasmi Projek Sustainable Integration of Natural and Renewable Energy (Projek SINAR).


Projek ini merupakan satu langkah signifikan ke hadapan dalam mengintegrasikan tenaga boleh diperbaharui ke dalam operasi penapisan petrokimia syarikat, selaras dengan matlamat tenaga boleh diperbaharui Negara Brunei Darussalam (NBD).


Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Hengyi Industries serta Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.


Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Haji Awang Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Hengyi Industries; Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah dan Duta Besar Republik Rakyat China ke NBD, Tuan Yang Terutama Chen Shaochun serta pegawai-pegawai kanan kerajaan yang lain.


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hengyi Industries Sdn. Bhd., Chen Lian Cai dalam ucapannya menekankan kepentingan Projek SINAR dalam mengintegrasikan tenaga solar boleh diperbaharui ke dalam operasi penapisan.


Beliau menegaskan peranan projek tersebut dalam mengurangkan pelepasan karbon serta memajukan amalan perindustrian yang lebih cekap tenaga dan mesra alam, di samping menegaskan komitmen Hengyi Industries terhadap pembangunan industri yang bertanggungjawab selaras dengan aspirasi iklim jangka panjang NBD.


Majlis juga menyaksikan tayangan video yang memberikan gambaran menyeluruh mengenai pembangunan dan pelaksanaan teknikal projek berkenaan, diikuti dengan ucapan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.


Dijadualkan siap menjelang awal tahun 2029, peluasan ini akan menggandakan hampir tiga kali kapasiti pengeluaran loji penapisan, meningkatkan 'output' daripada 8 juta kepada 20 juta tan metrik setahun. Ini bukan sahaja mewakili peningkatan jumlah pengeluaran, malah turut memperkukuh penciptaan nilai, seterusnya mengukuhkan industri hiliran dan daya tahan ekonomi NBD.


Yang Berhormat-Yang Berhormat Menteri serta para tetamu kemudiannya dibawa melawat Ladang Solar Hengyi Industries bagi melihat secara lebih dekat bagaimana sistem tersebut diintegrasikan ke dalam operasi loji penapisan. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai di Ladang Solar berkenaan.


Dilancarkan secara rasmi pada 23 Oktober 2024, Projek SINAR merupakan inisiatif tenaga solar berskala besar yang dibangunkan bagi membekalkan tenaga boleh diperbaharui kepada Loji Penapisan Petrokimia Hengyi Industries.


Bermula dengan Fasa 1 projek yang dipasang dan dilaksanakan sepenuhnya oleh pasukan Hengyi Industries sendiri, projek ini meliputi kawasan seluas 36 hektar dan merangkumi 80,374 panel fotovoltaik, masing-masing berkapasiti 630W, disokong oleh penyimpanan tenaga sebanyak 24MWh, dengan jumlah kapasiti terpasang melebihi 50MWp.


Kerja-kerja pembinaan dan pemasangan bermula tahun lalu dan keseluruhan sistem solar PV berjaya disiapkan dalam tempoh kurang daripada setahun. Sebagai inisiatif solar terbesar di NBD setakat ini, Projek SINAR merupakan satu mercu tanda penting bagi Hengyi Industries dan landskap tenaga boleh diperbaharui negara.


Selepas pentauliahan Fasa 1, projek ini dijangka menjana sehingga 84,000MWh tenaga elektrik bersih setiap tahun, membekalkan kira-kira 7 peratus daripada keseluruhan keperluan tenaga fasiliti tersebut.


Dari segi impak alam sekitar, Projek SINAR dijangkakan dapat mengurangkan pelepasan karbon sehingga kira-kira 137,180 tan CO₂ setahun, bersamaan dengan penanaman kira-kira 17,000 hektar pokok.


Projek ini turut menyokong sasaran Pejabat Perubahan Iklim NBD untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui kepada sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang menjelang tahun 2035.


Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-15 penubuhan Hengyi Industries di NBD. Sejak kelulusan rasmi Projek Petrokimia Pulau Muara Besar pada tahun 2011, Hengyi Industries telah bekerjasama rapat dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam membangunkan loji penapisan petrokimia bertaraf dunia yang menyumbang secara signifikan kepada industri hiliran dan landskap ekonomi negara.


Berpandukan kecemerlangan operasi, inovasi dan kelestarian perniagaan, syarikat tersebut terus menyokong matlamat pembangunan jangka panjang NBD, termasuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035.



Close