Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 Februari. - Kementerian Kesihatan mengadakan Majlis Penghargaan Pegawai-pegawai dan Kakitangan Kementerian Kesihatan Yang Bersara pada Tahun 2024 di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil serta cenderamata kepada para pesara yang diraikan, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Majlis berkenaan diadakan adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas dedikasi, komitmen serta sumbangan para pesara sepanjang tempoh perkhidmatan mereka dalam Perkhidmatan Awam, khususnya kepada Kementerian Kesihatan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Seramai 76 pesara terdiri daripada 15 lelaki dan 61 perempuan menerima sijil dan cenderamata pada majlis berkenaan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Ketua Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Awang Ahmad Syuja'iee bin Begawan Mudim Haji Matassim, dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Kementerian Kesihatan, Pengiran Mohammad Bakhtiar bin Pengiran Haji Ibrahim selaku Pengerusi Majlis.
Pengiran Mohammad Bakhtiar dalam ucapannya, antara lain menyatakan bahawa setelah berkhidmat dalam tempoh purata yang lama di sektor kerajaan, para pesara tentunya telah merencana kehidupan untuk melangkah ke fasa baharu atau sedang menikmati alam persaraan masing-masing.
Beliau menegaskan bahawa persaraan bukanlah garisan penamat, sebaliknya merupakan fasa peralihan daripada dunia profesional ke ruang peribadi yang lebih eksklusif. Persaraan juga merupakan permulaan kepada perjalanan kehidupan yang lebih bermakna, tenang dan penuh warna, di samping membuka ruang untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga tersayang serta mencipta memori baharu.
Jelasnya lagi, fasa persaraan memberikan peluang kepada para pesara untuk melaksanakan program atau aktiviti yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan kerana keterbatasan waktu bertugas.
“Sehubungan itu, saya berharap agar masa terluang tersebut dimanfaatkan sebaiknya dengan perkara-perkara yang bermanfaat dan menguntungkan diri sendiri, keluarga serta masyarakat.
“Persaraan juga bukanlah titik noktah bagi seseorang untuk memberi sumbangan terhadap kemajuan negara," ujarnya lagi.
Mengakhiri ucapan, Pengiran Mohammad Bakhtiar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan tenaga, masa dan buah fikiran para pesara sepanjang perkhidmatan mereka, yang telah membantu kementerian dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan menyumbang kepada kecemerlangan Kementerian Kesihatan.
Komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan jelasnya lagi, diharap akan menjadi contoh dan teladan kepada pegawai serta kakitangan yang masih berkhidmat.
Kementerian Kesihatan juga merakamkan penghargaan kepada semua pesara atas jasa dan khidmat bakti yang telah diberikan, yang akan terus menjadi inspirasi kepada warga kementerian dalam meneruskan amanah dan tanggungjawab memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, berdaya tahan dan berteraskan nilai profesionalisme.
Turut hadir, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.