MJPSHHB anjur Majlis Tahlil Arwah Sekampung





Oleh : Siti Rokiah Abdullah / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said






JANGSAK, Khamis, 12 Februari. - Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah (MJPSHHB), Kampung Jangsak malam tadi telah mengadakan Majlis Tahlil Arwah Sekampung yang diselajurkan dengan penyampaian infak serta surat lantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid bagi Sesi 2025 hingga 2029.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.


Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil Arwah kemudian diteruskan dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah.


Pada majlis berkenaan, seramai 12 keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan infak bagi membantu meringankan perbelanjaan harian mereka. Sementara itu, seramai 35 orang AJK Takmir Masjid bagi Sesi 2022 hingga 2025 menerima sijil penghargaan sebagai tanda pengiktirafan atas khidmat bakti yang telah dicurahkan, manakala seramai 47 AJK Takmir Masjid yang baharu bagi Sesi 2025 hingga 2029 menerima surat lantikan.


Penganjuran majlis berkenaan antara lain bertujuan untuk memperingati saudara-mara yang telah kembali ke rahmatullah dalam kalangan penduduk Kampung Jangsak, di samping membantu golongan yang memerlukan khususnya fakir miskin dan anak-anak yatim.


Selain itu, ia juga sebagai penghargaan kepada AJK Takmir Masjid yang terdahulu serta meraikan pelantikan AJK Takmir Masjid yang baharu.


Majlis berkenaan turut mencerminkan usaha berterusan untuk menjadikan MJPSHHB sebagai tempat ibadah yang kondusif, selesa dan menarik minat penduduk serta pengunjung, sekali gus memupuk rasa kekitaan dalam kalangan masyarakat.


Di samping itu, ia diharap dapat membuka mata dan minda seluruh penduduk mengenai peranan masjid di Kampung Jangsak sebagai pusat ibadah dan pusat kegiatan kemasyarakatan melalui pelbagai aktiviti keagamaan.


Close