Mesyuarat bincang kertas kerja Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam 1448H





Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid






BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 Februari. - Bagi melancarkan pelaksanaan Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H bersidang petang tadi bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.


Seperti lazimnya, mesyuarat berkenaan diadakan bagi membincangkan kertas kerja Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara sepanjang tahun 1448H, yang merangkumi penganjuran program-program, iaitu Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah Peringkat Negara bagi Tahun 1448H, Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1448H Peringkat Negara, Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448H, Majlis Perhimpunan Khas Wanita sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448H, Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara bagi Tahun 1448H, dan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara bagi Tahun 1448H, serta Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1448H / 2027 Masihi.


Antara agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan ialah cadangan tema bagi setiap Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H / 2027 Masihi, tarikh dan tempat mengadakan majlis, pengendali-pengendali bersama majlis, atur cara utama, perancangan acara-acara iringan, serta lantikan Ahli Jawatankuasa Bertindak, Ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa Kerja yang akan mengendalikan penganjuran majlis-majlis berkenaan.


Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H.


Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, diikuti dengan ucapan daripada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.


Hadir sama pada mesyuarat berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned; Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Wahab bin Haji Md. Said; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin.


Turut sama, Setiausaha-setiausaha Tetap kementerian-kementerian serta Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, KHEU; dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.


Seperti tahun-tahun sebelumnya, Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam di Negara Brunei Darussalam akan terus disambut secara besar-besaran. Selain pelbagai acara keugamaan yang dikendalikan oleh kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan berkaitan serta di masjid-masjid, surau-surau, dan balai-balai ibadat seperti bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun Hijrah, Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam juga diraikan di peringkat negara melalui penganjuran pelbagai majlis dan program yang telah dirancang.


Pihak jawatankuasa berharap agar Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan sepanjang tahun 1448H dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, tersusun dan sempurna, serta diisi dengan acara-acara yang bermanfaat.


Ini bertujuan untuk mengasuh dan memupuk semangat cintakan Allah Subhanahu Wata'ala, cintakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, cintakan ugama dan raja oleh seluruh rakyat dan penduduk, di samping meningkatkan lagi keimanan umat Islam khususnya di NBD.


Close