Tinjau kemajuan projek negara di bawah RKN Ke-12





Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kewangan dan Ekonomi






BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 10 Februari. - Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja (JKK) Rancangan Kemajuan Negara (RKN) telah mengadakan Lawatan Kerja ke Tapak-tapak Projek RKN Ke-12 (RKN12) di Daerah Brunei dan Muara, hari ini.


Rombongan diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi JKK RKN.


Turut hadir semasa lawatan kerja berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh; Timbalan-timbalan Menteri di Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap dan Sekretariat JKK RKN.


Lawatan Kerja ini bertujuan untuk meninjau dengan lebih dekat perkembangan dan kemajuan projek negara di bawah RKN bagi memastikan ia berjalan dengan lancar dan sempurna.


Lawatan bermula di Tapak Pembinaan Masjid Baharu Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba dan seterusnya ke Tapak Projek Bangunan Skuadron Unmanned Aerial System (UAS) yang telah siap dan Projek Pengangkutan Udara C295MW di Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei, Rimba.


Lawatan Kerja diakhiri dengan lawatan ke Bangunan Muzium Brunei dan Bangunan Pameran, Kota Batu. Projek yang dalam pelaksanaan Fasa 3 ini merupakan projek membaik pulih dan penaiktarafan infrastruktur dan pengisian Pameran Bangunan Muzium Brunei di mana apabila siap nanti akan menjadi salah satu tarikan bagi para-para pelancong ke negara ini.


Close