Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 10 Februari. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) pagi tadi berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan 1447 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan An-Naura, Kompleks YSHHB, di ibu negara.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.
Turut menjunjung, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.
Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz.
Diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II yang antara lain menyembahkan bahawa pada tahun ini, sejumlah 160.2 ton metrik buah kurma jenis 'Safawy' akan dibahagikan kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di seluruh negara.
Kurma yang keseluruhannya berjumlah sebanyak 534,000 kotak kecil itu sembah Yang Berhormat, akan dibahagi-bahagikan kepada seluruh rakyat dan penduduk Islam, termasuklah pekerja-pekerja asing yang beragama Islam di negara ini tanpa mengira had umur dan taraf kerakyatan akan menerima kurnia buah kurma mereka di mana setiap seorang akan menerima satu kotak kecil kurma yang mengandungi 300 gram.
Yang Berhormat turut menyembahkan seperti pada tahun lepas, penghantaran kurma kali ini menggunakan jalur Pelabuhan Dammam, Arab Saudi menggunakan kapal laut dengan dua kali pelayaran yang membawa keseluruhan 11 unit kontena berhawa dingin ('chilled container').
"Alhamdulillah dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala dan berkat daulat Paduka Ayahanda Duli Tuanku, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam buah-buah kurma ini telah selamat sampai di Negara Brunei Darussalam pada 19 Januari 2026 dan 4 Februari 2026," sembahnya.
Yang Berhormat dalam merafakkan kesyukuran turut menyembahkan bahawa pengurniaan kurma tahun ini memasuki tahun ke-31 sejak dari tahun 1995 YSHHB telah diamanahkan untuk menguruskan pengendaliannya, dan Alhamdulillah sehingga kini pengagihannya telah pun dilaksanakan dengan sempurna dan teratur.
Dengan sokongan padu dan keterlibatan berterusan pihak-pihak yang berkepentingan menunjukkan trend positif yang mencerminkan tanda kesepakatan dan kesepaduan di dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan atau projek.
“Mudah-mudahan penghayatan dan pelaksanaan kaedah ini, akan sentiasa berterusan dan, menjadi sebahagian amalan soleh yang diredai oleh Allah Subhanahu Wata'ala, dan semoga ia akan menambahkan lagi keberkatan dan rahmat kepada Negara Brunei Darussalam yang tercinta," sembah Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat dalam sembah alu-aluannya juga menyembahkan sembah ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di atas limpah kurnia baginda yang sangat bermakna, istimewa dan sangat dihargai serta disyukuri seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang terus mendoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ahli-ahli kerabat diraja, sentiasa berada di bawah pemeliharaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala, dilanjutkan usia, sihat sejahtera dan kekal qarar memerintah di atas singgahsana Kerajaan NBD dengan pimpinan bijaksana dan diredai di bawah petunjuk dan inayah Allah Subhanahu Wata'ala jua.
Sejurus itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik berkenan mengurniakan sabda.
Seterusnya Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyempurnakan pengagihan buah-buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada wakil-wakil pasukan beruniform, orang awam, penjawat awam (sektor kerajaan), pekerja swasta dan persatuan-persatuan saudara baharu.
Pasukan beruniform diwakili oleh pemerintah-pemerintah tentera serta komandan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan pengarah-pengarah jabatan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Orang awam diwakili oleh Pegawai-pegawai Daerah serta sebahagian Ketua-ketua Kampung dari keempat-empat daerah.
Penjawat awam dan pekerja sektor swasta diwakili oleh pengarah-pengarah jabatan pengurusan, pentadbiran dan tenaga manusia.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili.
Dengan sempurnanya Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah DYMM pada hari ini, maka bermulalah pembahagian buah kurma kurnia peribadi baginda sempena bulan Ramadan 1447H/2026M kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di NBD.
Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah DYMM adalah seperti berikut, pemerintah-pemerintah dan komandan-komandan ABDB serta pengarah-pengarah jabatan dan pegawai-pegawai pemerintah PPDB akan mengagih-agihkan buah kurma kurnia peribadi ini kepada pegawai-pegawai dan kakitangan di bawah jabatan dan unit masing-masing.
Pegawai-Pegawai Daerah akan mengagih-agihkan buah kurma kurnia peribadi ini kepada semua Penghulu-penghulu Mukim (yang memangku jawatan Ketua-ketua Kampung) dan Ketua-ketua Kampung dan seterusnya akan mengagih-agihkan buah kurma kurnia peribadi ini kepada anak-anak buah kampung di bawah jagaan mereka masing-masing.
Para penjawat awam, pengagihan adalah melalui kementerian dan jabatan masing-masing, dan para pekerja daripada sebahagian sektor swasta, pengagihan adalah melalui syarikat masing-masing dan sebahagiannya adalah melalui Ketua-ketua Kampung mengikut tempat tinggal masing-masing.
Pengurniaan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah DYMM ini mencerminkan sikap pemedulian dan kasih baginda.
Justeru adalah wajar bagi seluruh rakyat dan penduduk di negara ini khususnya mereka yang beragama Islam untuk menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah DYMM atas kurnia baginda ini.
YSHHB sangat-sangat mengharapkan sokongan dan kerjasama padu daripada semua pihak dalam melancarkan urusan pengendalian pengagihan buah kurma kurnia peribadi sepertimana yang diharapkan supaya buah kurma kurnia peribadi ini akan diterima dengan baik dan sempurna dan seterusnya dinikmati oleh setiap orang yang beragama Islam di negara ini sebagai juadah berbuka puasa semasa bulan Ramadan nanti.
Hadir sama di majlis tersebut ialah Ahli-ahli Jemaah Tadbir serta Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Pemerintah ABDB, Pemangku Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Pegawai-pegawai Daerah, dan pengarah-pengarah daripada kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan dan sektor swasta yang terlibat dalam pengendalian pengagihan buah-buah kurma kurnia peribadi baginda.
