Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 10 Februari. - Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menjadi amalan di negara ini setiap kali menjelangnya bulan Ramadan.
Pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) akan giat mengatur langkah pada menanai tanggungjawab untuk mengagihkan buah-buah kurma kurnia peribadi baginda sesempurnanya kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk yang beragama Islam di negara ini.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir YSHHB bersabda demikian pada Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks YSHHB, di ibu negara, pagi tadi.
Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik bersabda marilah kita merafakkan kesyukuran kerana dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala jua, Alhamdulillah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus dapat melaksanakan kurnia peribadi baginda pada tahun ini bagi membolehkan semua lapisan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam berpeluang menikmati buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai juadah berbuka puasa sebagaimana kelazimannya dalam persediaan menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Duli Yang Teramat Mulia dalam sabdanya juga menjelaskan bahawa amalan bersedekah ini juga akan terus menjadi asas dalam menghidupkan bulan Ramadan sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 261:
“Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; pada tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan Allah melipatgandakan ganjaran bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui".
Sabda DYTM, sesungguhnya setiap amalan sedekah yang dilakukan dengan penuh keikhlasan tidak akan disia-siakan, malah dijanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda sebagai rahmat dan kasih sayang Allah Subhanahu Wata'ala kepada hamba-hamba-Nya yang berbuat kebajikan dan kebaikan.
Sehubungan itu sabda DYTM, kurma kurnia peribadi Kebawah DYMM ini bukan sahaja akan membawa kelainan dalam kita menyambut bulan Ramadan di negara ini bahkan ia terbukti dapat menyemai nilai kasih sayang dan perpaduan, ke arah mengukuhkan jalinan ukhuwah serta kesejahteraan masyarakat di negara ini.
Di kesempatan itu juga, DYTM turut merakamkan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada YSHHB, Kementerian dan Jabatan Kerajaan, Pegawai-pegawai Daerah, Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan, para sukarelawan serta semua lapisan masyarakat yang terlibat yang telah bekerjasama dan mengendalikan amanah dan tanggungjawab yang berkebajikan ini dengan jayanya.
Di akhir sabda, DYTM menganjurkan untuk kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, semoga Kebawah DYMM akan sentiasa dikurniakan kesihatan dan afiat yang berpanjangan, dimurahkan rezeki untuk terus melaksanakan kurnia peribadi baginda ini demi meraih rahmat dan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala jua.