Pertandingan galak gaya hidup sihat




Oleh : Siti Rokiah Abdullah / Foto : Ihsan Saat Mokim





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 Februari. - Dengan hasrat untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim dalam kalangan bekas pelajar Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah, satu Pertandingan Boling Ukhuwah Semenara Fun Bowling, telah diadakan baru-baru ini bertempat di iBowl Bowling Centre, Batu Satu.


Pertandingan tersebut bertujuan menggalakkan para bekas pelajar sekolah berkenaan, yang terdiri daripada pengambilan tahun 1980 hingga 1991, untuk terus aktif melibatkan diri dalam aktiviti riadah di samping mengamalkan gaya hidup sihat.


Selain itu, penganjuran pertandingan ini juga berperanan sebagai wadah untuk meningkatkan mutu permainan sukan boling, memupuk semangat kesepakatan dan disiplin, serta memberi pendedahan kepada pengurusan sukan yang teratur dan berkesan.


Sebanyak 10 pasukan telah mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan, dengan setiap pasukan dianggotai oleh lima pemain.


Turut hadir dan menyertai pertandingan ialah Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal serta Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.


Kejuaraan pertandingan telah dimenangi oleh Pasukan 1986 – Strike Outs, diikuti Pasukan Sahabat Sehebat 87 selaku naib juara, manakala Mix Team 'A' muncul tempat ketiga. Anugerah Pemain Terbaik serta pemain yang paling banyak menghasilkan 'strike' telah dinobatkan kepada Mazini Haji Bolhassan.


Close