6 pegawai ABDB dianugerahkan OBOE Endeavour Academic Excellence




Oleh : Khartini Hamir / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg Haji Nikman





TANAH JAMBU, Isnin, 9 Februari. - Seramai enam pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menerima Anugerah OBOE Endeavour Academic Excellence dalam satu majlis yang berlangsung di Akademi Pertahanan ABDB, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Michael Neil Hoy.


Turut hadir, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif ABDB, Penasihat Pertahanan Australia ke NBD, pegawai-pegawai kanan, para alumni Anugerah OBOE dan pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Australia di NBD.


Para penerima anugerah terdiri daripada Leftenan Komander Shamshu Nuzli Wazri bin Haji Tajuddin, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB); Mejar (U) Muhammad Adib bin Haji Hashim, Mejar (U) Dayangku Aainaamolyatie binti Pengiran Salim, Mejar Pengiran Abdul Rahim bin Pengiran Haji Yakup, Leftenan Komander Mohammad Asharuddin bin Ahanapiah, TLDB; dan Mejar (U) Muhammad Ammar Rusyduddin bin Ahmad.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Komandan Akademi Pertahanan ABDB, Kolonel (U) Azmie Iskandar bin Ariffin, serta ucapan daripada Tuan Yang Terutama Michael Neil Hoy.


Anugerah OBOE Endeavour merupakan satu program kecemerlangan akademik daripada Kerajaan Australia, yang dianugerahkan kepada para peserta Kursus Maktab Turus yang mencapai keputusan cemerlang semasa kursus berkenaan.


Para penerima anugerah akan dijemput ke Australia bagi menghadiri sesi pertemuan dengan Pemimpin-pemimpin Kanan Angkatan Pertahanan Australia, melawat pangkalan-pangkalan tentera, menyertai aktiviti pendidikan dan kebudayaan, serta mengikuti sesi dialog dan perbincangan.


Program berkenaan bertujuan untuk meningkatkan pemahaman pegawai-pegawai berkenaan mengenai Australia dan Angkatan Pertahanan Australia, di samping memperkukuh persefahaman mengenai kepentingan keselamatan serantau.


Inisiatif berkenaan juga berperanan untuk mengeratkan hubungan profesional antara kedua-dua angkatan tentera serta memperkukuh hubungan pertahanan dua hala antara NBD dan Australia. 


Majlis berkenaan merupakan penganjuran kali kelapan sejak diperkenalkan pada 2018.


Anugerah OBOE Endeavour bersempena memperingati sumbangan Angkatan Pertahanan Australia dalam kejayaan pembebasan Borneo semasa Operasi OBOE dalam Perang Dunia Kedua, yang turut menandakan permulaan hubungan pertahanan di antara NBD dan Australia.


Close