Kerjasama awam, swasta sokong pelaburan, perdagangan, pembangunan mampan




Siaran Akhbar dan Foto : Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, APEC Brunei





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 Februari. - Penggubal dasar kanan dan pemimpin perniagaan telah berhimpun hari ini di Baiduri Community Space bagi Meja Bulat Ekonomi Brunei (Brunei Economy Roundtable - BER) 2026, iaitu satu perbincangan tertutup mengenai prospek ekonomi Negara Brunei Darussalam (NBD).


Dianjurkan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan APEC Brunei, Meja Bulat ini menyediakan platform yang dipercayai untuk dialog yang terbuka, jujur dan strategik mengenai hala tuju ekonomi NBD, keutamaan serta cabaran yang bakal dihadapi pada tahun mendatang.


Sebagai acara pertama di bawah Program Ekonomi Brunei 2026, Meja Bulat ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi, mempercepatkan kepelbagaian ekonomi serta memposisikan NBD untuk merebut peluang pertumbuhan baharu dalam landskap serantau dan global yang sentiasa berubah.


Bidang perbincangan utama merangkumi daya saing pelaburan dan pelaburan langsung asing (FDI), peluasan perdagangan dan integrasi serantau, kemampanan serta penerapan praktikal penyelesaian digital bagi meningkatkan produktiviti.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah telah menetapkan hala tuju perbincangan melalui ucaptama pembukaannya dengan menggariskan dasar serta keutamaan ekonomi kerajaan bagi tahun 2026.


Yang Berhormat menekankan kepentingan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta dalam memajukan visi ekonomi NBD, memperkukuh daya saing, serta menyumbang kepada matlamat jangka panjang Wawasan Brunei 2035.


Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pegawai Eksekutif Baiduri Bank, Ti Eng Hui berkata bahawa Bank Baiduri menyokong platform yang menggalakkan dialog yang praktikal dan konstruktif antara sektor awam dan swasta mengenai keutamaan ekonomi NBD.


“Program Ekonomi Brunei memainkan peranan penting dalam menghubungkan perspektif tempatan dengan perkembangan serantau dan global serta memastikan Brunei berada pada kedudukan yang tepat untuk menambah nilai dalam konteks ekonomi ASEAN dan APEC yang lebih luas," ujarnya lagi.


Beliau menegaskan bahawa penekanan kini harus diberikan kepada merealisasikan perbincangan ini melalui tindakan konkrit dan pencapaian yang boleh dilihat.


Menekankan kepentingan penglibatan sektor swasta dan kerjasama serantau, Pengerusi ASEAN BAC Brunei dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Adinin, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian NBD serta Ahli Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Brunei, Awang Haji Musa bin Haji Adnin, menyoroti peluang untuk memperkukuh daya saing NBD melalui pelaburan dan perdagangan.


“Ketika ASEAN bergerak ke arah rantaian bekalan yang lebih hijau dan digital, NBD mesti memposisikan dirinya untuk merebut peluang pelaburan dan perdagangan baharu. Meja Bulat hari ini menyokong dialog yang terbuka dan jujur bagi memajukan kepelbagaian dan daya tahan ekonomi kita, selaras dengan keutamaan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN terhadap pertumbuhan inklusif," katanya.


Wakil industri, pakar bidang, dan pemimpin perniagaan daripada Brunei Shell Petroleum, Darussalam Assets Sdn. Bhd., Datastream Digital (DST) Sdn. Bhd., Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei (BEDB) serta organisasi lain turut mengambil bahagian dalam Meja Bulat tersebut.


Perbincangan yang menyusul memberi peluang kepada para peserta untuk berkongsi pandangan mengenai prospek ekonomi NBD bagi tahun 2026, risiko dan peluang utama yang dihadapi oleh perniagaan, serta tindakan praktikal bagi mempercepatkan kepelbagaian ekonomi, meningkatkan produktiviti dan memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.


Para peserta juga meneroka kaedah untuk memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam menyokong pelaburan, peluasan perdagangan dan pembangunan mampan.


Kini memasuki tahun kelima, Program Ekonomi Brunei merupakan satu inisiatif yang diterajui oleh sektor swasta dan dianjurkan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan APEC Brunei. Program ini menghubungkan ekonomi Brunei dengan landskap ASEAN dan APEC yang lebih luas, bagi memastikan komuniti perniagaan Brunei kekal terlibat dengan perkembangan ekonomi serantau dan global.


Melalui inisiatif seperti Meja Bulat Ekonomi Brunei, program ini bertujuan untuk menyokong usaha kepelbagaian ekonomi NBD serta menyumbang kepada pendekatan menyeluruh negara dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.


Close