Sambut Ramadan dengan muhasabah diri, bersihkan hati





Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama






 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 Februari. - Ramadan al-Mubarak adalah bulan yang istimewa dan sentiasa ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia.


Kedatangan Ramadan hendaklah disambut dengan persediaan dengan bermuhasabah diri dan membersihkan hati daripada sifat-sifat Mazmumah serta menghiasinya dengan sifat-sifat Mahmudah.


Ramadan adalah bulan yang singkat, namun dipenuhi dengan peluang ganjaran yang besar. Maka, masa yang ada hendaklah dimanfaatkan dengan mengurangkan hiburan yang melalaikan, menjauhi segala bentuk maksiat dan menggantikannya dengan memperbanyakkan amalan sunat, membaca Al-Quran, berdoa, beristighfar, bersedekah, melaksanakan kerja-kerja kebajikan serta menyambung silaturahim.


Demikian antara inti pati tazkirah bertajuk 'Persiapan bagi Menghadapi Bulan Ramadan' disampaikan oleh Pegawai Pemantau Zon 2 Masjid-Masjid Daerah Tutong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Nor Affindy bin Norsabah bagi menyerikan Malam Munajat anjuran KHEU kali Ke-218 yang bersiaran dari Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Bukit Beruang, Tutong.


Hadir secara maya bagi sama-sama menyerikan lagi Malam Munajat tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.


Turut hadir ialah Ahli Jawatankuasa Takmir dan para jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja KHEU, dan juga individu yang mengikuti program ini dari kediaman masing-masing.


Atur cara munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Penghulu Mukim Telisai, Tutong, Awang Haji Haslan bin Haji Shahbudin, bersiaran dari Masjid RPN Kampung Bukit Beruang, Tutong.


Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh belia Masjid RPN Kampung Bukit Beruang, Tutong, Awang Muhammad Darwisy Afiq bin Jalani.


Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh imam Masjid RPN Kampung Bukit Beruang, Tutong, Awangku Muhd. Abd Qadir bin Pengiran Haji Ibrahim.


Selesai tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Asyghil dipimpin oleh belia Masjid RPN Kampung Bukit Beruang, Tutong, Awang Muhammad Adam Khairuddin bin Abdullah Muhammad Hassanuddin yang kemudiannya diteruskan dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Ketua Kampung Bukit Beruang dan RPN Kampung Bukit Beruang, Tutong, Awang Moksin bin Haji Moktar.


Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.


Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita rafakkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.


Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: 'http://tiny.cc/munajatkheu'.


Close