Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 Februari. - Kesalahan Jenayah Syariah yang tertinggi bilangan pendaftarannya di Mahkamah Syariah adalah kesalahan khalwat.
Bagi pesalah muda yang terlibat dalam kesalahan khalwat, wajarlah semua pihak khasnya ibu bapa dan keluarga mengambil perhatian yang berat dan tegas bagi membendung kesalahan yang dinamakan juga sebagai pergaulan bebas anak muda, supaya perkara penyakit sosial seperti ini tidak dibiarkan berleluasa tanpa kawalan dan sekatan.
Ketua Hakim Syar'ie, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar mengingatkan bahawa dari kesalahan khalwat dan pergaulan bebas inilah yang biasa membawa kepada kesalahan yang lebih besar dalam hukum syarak, khususnya perbuatan kesalahan yang membawa kesalahan zina walaupun yang belum sampai kepada membawa kesalahan hadd zina.
Perbuatan yang boleh membawa ke arah perbuatan zina merupakan perbuatan keji dan buruk adalah diharamkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
“Pencegahan pergaulan bebas tanpa kawalan adalah sebagai jalan yang boleh mengelakkan perbuatan kesalahan zina. Oleh itu, perlulah institusi perkahwinan itu diberi keutamaan dan digalakkan sekiranya pasangan itu telah mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk hidup berumah tangga," terang Yang Amat Arif / Yang Berhormat Ketua Hakim Syar'ie.
Dalam pada itu tambahnya, dalam mengendalikan majlis pernikahan bagi suatu perkahwinan, lazimnya jurunikah yang bertauliah adalah mereka yang bertanggungjawab melaksanakan upacara atau istiadat pernikahan berkenaan.
Di antara syarat sah pernikahan itu ialah adanya disebutkan dalam suatu akad pernikahan itu mahar atau mas kahwin, yang biasa dibuat dalam bentuk wang tunai atau selainnya yang bernilai.
“Memandangkan pada masa ini sebutan wang negara telah ditetapkan sebagai 'dolar Brunei', maka perlu bila akad nikah itu dibuat hendaklah disebut dalam akad dan ijap qabul itu bahawa mahar atau mas kahwin dengan sebutan 'dolar Brunei' bukan lagi 'ringgit', kerana syarat mahar itu hendaklah dinyatakan dengan jelas apa jua dijadikan sebagai mahar atau mas kahwin. Ini adalah bagi mengelakkan sebarang kewahaman atau keraguan padanya," jelas Ketua Hakim Syar'ie.
Ketua Hakim Syar'ie juga ingin menyarankan dan memperingatkan kepada semua jurunikah apabila menjalankan upacara akad pernikahan, hendaklah tidak mengada-adakan apa-apa perbuatan lain yang tidak berkaitan dengan tatacara akad nikah mengikut syarak, iaitu dengan mengadakan perbuatan seperti melaungkan takbir selepas akad nikah dibuat, kerana perbuatan itu tidak pernah dibuat dalam hukum syarak bagi suatu akad pernikahan.
“Oleh itu, para jurunikah hendaklah mengulangkaji semula segala tatacara bagi mengakad nikah yang ditetapkan oleh hukum syarak yang sebenarnya dan bukan mengadakan perkara yang bertentangan dengan hukum syarak, ini bagi mengelakkan sebarang kewahaman dan kekeliruan orang ramai terhadap tatacara yang dijalankan oleh jurunikah," jelas Ketua Hakim Syar'ie.
Sebelum mengakhiri ucapannya, Ketua Hakim Syar'ie sekali lagi menekankan dan mengingatkan kepada semua pegawai dan kakitangan Mahkamah Syariah agar terus memelihara amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada diri masing-masing tidak mengira di peringkat mana.
Ini adalah kerana ia merupakan cerminan dalam aspek keperibadian penjawat awam yang diyakini dan dipercayai.
Dengan adanya sikap ini tambahnya, insyaaAllah akan dapat membawa kita semua kepada peningkatan keimanan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dalam diri kita sendiri secara individu dan kemajuan diri masing-masing serta secara tidak langsung membawa kepada peningkatan dan kemajuan organisasi Mahkamah Syariah secara keseluruhannya.