Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 Februari. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIM) menganjurkan Islamic Financial Literacy Day yang berlangsung di Auditorium, Kampus UNISSA, Gadong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan acara tersebut ialah Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Sementara itu, Pengerusi Program Islamic Financial Literacy Day, Mahmud Ameer Syahmi bin Mahmud Kashfi dalam ucapannya menjelaskan bahawa program tersebut merupakan inisiatif pertama yang diungkayahkan oleh pelajar FEKIm, UNISSA, dengan matlamat untuk meningkatkan literasi, kesedaran serta menanai minat pelajar di peringkat universiti dan sekolah menengah terhadap prinsip dan sistem dalam kewangan Islam.
Menurutnya lagi, penganjuran program ini amat bertepatan dengan kedudukan dan pencapaian Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam industri kewangan Islam.
Berdasarkan Laporan Islamic Finance Development Report 2025 yang telah diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) pada 8 Januari 2026 katanya bahawa NBD telah berada di kedudukan ke-13 dunia dalam pembangunan kewangan Islam.
Beliau menjelaskan, pencapaian ini membuktikan bahawa NBD mempunyai asas yang kukuh serta potensi yang amat besar untuk terus berkembang sebagai hab kewangan Islam di peringkat serantau dan antarabangsa.
Sehubungan itu tambahnya, pendedahan awal kepada generasi muda khususnya peringkat menengah dan universiti melalui program seperti ini adalah amat penting bagi memastikan pembangunan industri kewangan Islam adalah sejajar dengan keperluan melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing.
Pada majlis itu, tetamu kehormat juga turut menyaksikan pelbagai inisiatif, bahan pameran dan perkongsian ilmu berkaitan kewangan Islam.
Program ini akan berlangsung selama dua hari sehingga besok bertempat di Auditorium UNISSA bagi pameran informatif dari pelbagai institusi-institusi kewangan Islam yang berkepentingan di dalam ekosistem Kewangan Islam di NBD, serta Gimnasium UNISSA bagi aktiviti jualan makanan dan minuman, di samping penyediaan hadiah khas kepada para pelajar yang berjaya melawat kesemua 'booth' pameran.
Antara yang mengikuti pameran berkenaan ialah wakil-wakil dari agensi-agensi kewangan; Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), BDCB, Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Brunei Institute of Leadership & Islamic Finance (BILIF), Bank Usahawan termasuk Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam Brunei Darussalam dan Al-Wady Consultant Services.
Tujuan program adalah untuk meningkatkan kesedaran serta kefahaman mengenai kepentingan literasi kewangan Islam dalam kalangan warga universiti dan masyarakat, selaras dengan prinsip Syariah dan pembangunan ekonomi yang mampan.
Diharap program ini akan dapat memperkukuh kefahaman dan kesedaran mengenai kewangan Islam dalam kalangan pelajar khususnya dan orang ramai secara amnya.