Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 4 Februari. - Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) ialah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ahli kerabat baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih baginda kepada rakyat di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam (NBD) yang sejahtera dan makmur.
Sehubungan itu, YSHHB hari ini menyampaikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND86,500 kepada sebanyak 75 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara bagi menyokong pelaksanaan majlis dan aktiviti takmir khususnya sepanjang bulan Ramadan 1447 Hijrah yang bakal menjelang.
Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian sumbangan kepada sebuah keluarga yang terlibat dalam kejadian rumah roboh. Majlis penyampaian sumbangan diadakan di Dewan An-Naura, Tingkat 3, Kompleks YSHHB, di ibu negara, hari ini.
Bagi masjid, surau dan balai ibadat di Daerah Brunei dan Muara, sumbangan kewangan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.
Sementara itu, bagi Daerah Tutong, sumbangan kewangan disampaikan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB.
Manakala bagi Daerah Belait dan Temburong pula, sumbangan kewangan disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad selaku Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan YSHHB.
Kesemua sumbangan tersebut telah diserahkan kepada imam-imam dan pegawai-pegawai masjid berkenaan.
Majlis kemudian diteruskan dengan menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah BND5,000 kepada keluarga Awang Sahri bin Haji Braitno yang terlibat dalam kejadian rumah roboh akibat tanah susur di Kampung Birau.
Sumbangan kewangan tersebut disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir pada majlis tersebut, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB. Hadir sama, pegawai-pegawai kanan kerajaan yang berkenaan serta pegawai-pegawai YSHHB.