Program Latihan Khas tingkat keupayaan instruktur TUDB



Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Arifah Mohammad Aliwaridi





BERAKAS, Selasa, 3 Februari. - Kementerian Pendidikan, melalui Unit Tenaga Pengajar, Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA), Jabatan Pengurusan Pendidik, hari ini meraikan seramai 20 peserta yang berjaya menamatkan Program Latihan Khas Instructor Development Training bagi Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) bertempat di Dewan Utama, Kementerian Pendidikan.


Program latihan yang berlangsung dari 12 hingga 20 Januari 2026 itu melibatkan seramai 20 peserta, terdiri daripada empat pegawai, 13 anggota serta tiga kakitangan awam yang bertugas di TUDB.


Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan majlis penutup tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.


Turut hadir, Pemangku Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, Kolonel (U) Pengiran Hasrul Ariffin bin Pengiran Haji Rosley.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat serta diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Penolong Pengarah, Ketua Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA), Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Dr. Roslena binti Pehin Datu Indera Sugara Dato Seri Laila Jasa Haji Johari.


Majlis pada petang ini turut diisikan dengan tayangan video yang memaparkan perjalanan program serta refleksi para peserta terhadap kemahiran dan pengetahuan transformasi yang diperoleh sepanjang latihan.


Majlis diikuti dengan penyampaian sijil kepada 20 peserta serta lapan Jurulatih Utama / Fasilitator yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis. Seterusnya, majlis disusuli dengan ucapan daripada wakil peserta program, 935 Kapten (U) Nurul Jannah binti Abdullah.


Majlis berkenaan menandakan penutupan satu inisiatif kolaboratif strategik yang direka bentuk bagi memperkukuh dan memodenkan pendekatan pengajaran serta latihan ketenteraan melalui penerapan amalan pedagogi abad ke-21.


Program ini merangkumi 10 modul khusus, yang dikendalikan oleh pakar dari BDLTA dan Jabatan Sekolah-Sekolah, bagi memastikan peralihan yang lancar daripada pengajaran tradisional kepada kaedah fasilitasi moden.


Modul-modul tersebut adalah '21st Century Pedagogy'; 'Differentiated Teaching and Learning'; 'Emotional Intelligence (EI)': 'Improving Your Teaching'; 'Facilitation Skills'; 'The Art of Questioning'; 'Genuine Enquiry Questions'; 'Actionable Feedback to Empower Self-Regulated Learners'; 'Digital Learning Training'; 'Exposing Grouping Strategies to Promote Close Collaboration' dan 'Introduction to Coaching'.


Program berkenaan dirangka khusus bagi meningkatkan keupayaan instruktor TUDB dalam merancang, melaksanakan dan menilai sesi latihan secara lebih berkesan, sistematik dan berimpak melalui kurikulum yang merangkumi 10 modul khusus kendalian pakar daripada BDLTA dan Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan.


Secara keseluruhan, program ini berperanan sebagai platform strategik dalam membangunkan barisan teras instruktor TUDB yang kompeten, berwibawa dan selaras dengan amalan terbaik pendidikan antarabangsa, sekali gus menyokong usaha transformasi latihan pertahanan negara secara berterusan.


Majlis tersebut juga dihadiri oleh pengarah-pengarah, pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan serta kepimpinan kanan daripada TUDB.


Close