Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Azmah Haji Ahad
BELAIT, Selasa, 3 Februari. - Politeknik Brunei (PB) telah mengadakan Majlis Pelancaran Tenaga Suria dan Modul Teras Baharu Green and Digital Literacy for Sustainability, pagi ini di Kampus Lumut, Politeknik Brunei, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad juga selaku Ahli Lembaga Pengelola PB.
Dalam ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah PB, Pengiran Dr. Saiful Baharin bin Pengiran Haji Duraman menekankan komitmen PB dalam meneruskan dukungan terhadap matlamat negara dalam meningkatkan kesedaran di peringkat kebangsaan mengenai tenaga suria.
Di samping pelancaran Tenaga Suria PB, majlis juga memperkenalkan modul teras baharu bertajuk 'Green and Digital Literacy for Sustainability' yang akan mula diajar pada bulan Julai 2026 iaitu Tahun Akademik 2026 / 2027.
Selain daripada menyokong dasar-dasar negara dan antarabangsa kepada kepentingan pendidikan hijau, modul teras tersebut berharap dapat menyediakan pengetahuan asas mengenai kesedaran kelestarian, tanggungjawab digital dan kewarganegaraan beretika, dan seterusnya menyumbang secara bermakna kepada pembangunan lestari di Negara Brunei Darussalam.
Seterusnya, tetamu kehormat dialu-alukan untuk melancarkan Tenaga Suria PB dan Modul Teras Green and Digital Literacy for Sustainability diikuti dengan tayangan video yang mempamerkan projek-projek berkenaan.
Semasa acara tersebut, para tetamu telah mengadakan kunjungan ke Fasiliti Sistem Tenaga Suria (Solar) 100kW serta sesi bergambar ramai di hadapan tapak fasiliti. Para jemputan turut mengunjungi pameran-pameran yang diadakan di Ruang Perpustakaan Kampus PB.
Majlis Pelancaran Tenaga Suria dan Modul Teras Green and Digital Literacy for Sustainability ini menjadi salah satu bukti komitmen PB terhadap pendidikan, latihan, inovasi, dan pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.
Projek Tenaga Suria PB ini adalah salah satu projek yang sangat bermakna buat PB, di mana projek ini adalah sumbangan khas daripada Syarikat Berakas Power Company Sendirian Berhad, di mana satu Sistem Panel Solar Fotovoltaik yang berkapasiti 100kW telah selesai dipasang di Kampus Lumut, PB ini, dan diserahkan secara rasmi pada 16 Oktober 2025.
Sistem Panel Solar Fotovoltaik ini disambung kepada 4 x 25kW penyongsang 'inverter' (solar inverter) di mana tenaga elektrik akan disalurkan terus ke papan suis utama di Kampus Lumut.
Melalui projek Tenaga Suria ini, tambahan jumlah anggaran penjimatan pembayaran elektrik adalah dianggarkan sebanyak BND10,000.00 setahun, dengan mengambil kira kos tenaga elektrik semasa adalah BND0.10 per KWh.