Pameran sediakan platform pendidikan, pencegahan jenayah





Oleh : Nurdiyanah Rajami / Foto : Nurdiyanah Rajami dan Ihsan Pasukan Polis Diraja Brunei



BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 1 Februari. - Bersempena Sambutan Hari Polis Ke-105 Tahun, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengadakan Majlis Pelancaran Pameran selama dua hari bermula 31 Januari 2026 bertempat di Stadium Hassanal Bolkiah Polis, Gadong, menandakan permulaan rasmi salah satu rangkaian program sambutan bagi tahun 2026.


Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.


Turut hadir, para Pegawai Kanan PPDB, ketua-ketua formasi serta jemputan khas daripada pelbagai agensi berkepentingan.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti ucapan alu-aluan oleh ACP Haji Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah, selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Polis Ke-105 Tahun 2026.


Seterusnya, tetamu kehormat menyampaikan ucapan perasmian sebelum melancarkan pameran secara rasmi melalui tayangan video montaj Sambutan Hari Polis Ke-105.


Selepas majlis pelancaran, Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, seterusnya hadir menyaksikan persembahan padang dan demonstrasi secara langsung, sebelum membuat lawatan ke pameran bagi meninjau sendiri pengisian serta berinteraksi bersama warga PPDB dan agensi-agensi yang terlibat.


Pameran yang berlangsung selama dua hari, bermula 31 Januari hingga hari ini, menampilkan pelbagai pengisian interaktif merangkumi pameran jabatan dan formasi PPDB, Persatuan Keluarga Polis Diraja Brunei (PEKERTI) serta penglibatan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang seperti Jabatan Penjara, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan Bahagian Penguatkuasaan Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syariah, di samping demonstrasi operasi kepolisan, pameran kenderaan serta kaunter penerangan dan kesedaran jenayah untuk orang ramai.


Antara tarikan utama majlis ialah persembahan padang dan demonstrasi yang melibatkan Pancaragam Polis, Pusat Latihan Polis, Pasukan Simpanan Polis (RU) serta Pasukan Gerak Khas (PGK), yang mempamerkan keupayaan, kesiapsiagaan dan profesionalisme warga PPDB dalam mendepani cabaran keselamatan semasa.


Penganjuran pameran ini bukan sahaja bertujuan memperingati 105 Tahun Penubuhan PPDB, malah turut menjadi platform mendekatkan pasukan polis dengan masyarakat melalui pendekatan pendidikan, pencegahan jenayah dan perkongsian maklumat berkaitan keselamatan awam.



Close