Memperluas apresiasi seni, lahirkan bakat baharu



​​


Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohammad Hasif Matzin



BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 1 Februari. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan menganjurkan Peraduan Fotografi sempena Malam Gemilang UBD Drone Show dengan mengangkat tema 'Persembahan Dron dan Bunga Api di Stadium Negara Hassanal Bolkiah dan Persembahan Bunga Api di Jerudong Park Garden'.


Pengungkayahan peraduan ini merupakan salah satu platform kreatif yang menyediakan peluang kepada individu untuk mengekspresikan pandangan dan emosi melalui medium visual dan penulisan, seterusnya memperluas apresiasi seni serta melahirkan bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.


Sehubungan itu, Majlis Penyampaian Hadiah bagi para pemenang peraduan tersebut diadakan di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei pagi tadi.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan penyampaian hadiah dan cenderamata serta sijil penghargaan kepada para pemenang, panel hakim dan rakan korporat (penaja) ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.


Peraduan Fotografi ini diadakan antara lain bertujuan untuk mendukung visi dan misi DBP; menggalakkan masyarakat mengembangkan minat dalam bidang fotografi dan penulisan; memperkasa potensi dan kemahiran masyarakat dalam bidang fotografi dan penulisan; serta melahirkan dan mengangkat karya seni fotografi serta penulisan terbaik di negara ini.


Johan bagi Kategori 'A' (Umum) ialah Awang Mohammad Suffri bin Awang Osman; naib johan, Dayang Nurin Nabilah binti Ismail; dan pemenang tempat ketiga, Awang Ahmad Faisaldin bin Haji Awang Tuah.


Manakala johan bagi Kategori 'B' (Sajak Potret) ialah Awang Nurhazmie bin Haji Razali; naib johan, Dayang Siti Nur Azra Basyirah binti Alias; dan tempat ketiga, Dayang Siti Radiah binti Haji Ahim.


Terdahulu, majlis diisikan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, selaku Timbalan Pengerusi dan Setiausaha Majlis.


Seterusnya diikuti dengan penyampaian hadiah, cenderamata serta sijil penghargaan kepada para pemenang, panel hakim dan rakan korporat.


Pameran Peraduan Fotografi Sempena Malam Gemilang UBD Drone Show pula akan diadakan di Galeri Seni, Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja bermula 2 hingga 8 Februari 2026.



Close