DBM ungguli Perlawanan Boling Piala Persahabatan



​​


Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Azmah Haji Ahad



SERIA, Ahad, 1 Februari. - Pasukan Daerah Brunei dan Muara (DBM) yang berjaya meraih 4,476 jatuhan pin terkumpul muncul juara pada Perlawanan Boling Piala Persahabatan antara Jabatan-jabatan Daerah serta Penghulu Mukim dan Ketua Kampung 2026, Brunei Darussalam anjuran Badan Kebajikan PEKERUPA Daerah Belait dengan kerjasama Jabatan Daerah Belait.


Naib juara dimenangi oleh Pasukan Daerah Tutong dengan 4,073 jatuhan pin terkumpul manakala tempat ketiga ialah Pasukan Daerah Belait yang meraih 4,027 jatuhan pin terkumpul. Sementara tempat keempat disandang oleh Pasukan Daerah Temburong dengan 3,410 jatuhan pin terkumpul.


Hadir selaku tetamu kehormat pada perlawanan yang berlangsung di GoStrike Bowling Centre, Seria itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.


Manakala Awang Ahmad Khairi bin Haji Hassan daripada Pasukan Bola Berputar, DBM dinobatkan sebagai penerima bagi Kategori Most Strike Solo dengan mendapat 11 'strike'. Pasukan Bola Berputar juga mendapat hadiah pasukan yang paling banyak mendapat 'strike' iaitu 30 'strike'.


Hadir sama pada kejohanan tersebut, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dalam kalangan penghulu mukim dan ketua kampung; Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; pemangku-pemangku pegawai daerah serta penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung keempat-empat daerah.


Sebanyak 16 pasukan terdiri daripada pasukan-pasukan setiap daerah ikut serta pada kejohanan tersebut.


Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli MMN dalam kalangan penghulu mukim dan ketua kampung serta Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap juga ikut serta pada perlawanan tersebut.


Acara diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang perlawanan dan pemenang setiap kategori perlawanan yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.


Antara tujuan kejohanan ialah bagi mengukuhkan hubungan persaudaraan dan kerjasama antara ketua-ketua kampung di keempat-empat daerah, di samping mendorong penglibatan dalam aktiviti sukan dan riadah selaras dengan amalan hidup sihat.


Selain itu, ia juga bertujuan untuk memupuk nilai kerjasama, disiplin, toleransi dan persaingan sihat serta menggalakkan rasa kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan pemimpin akar umbi di seluruh negara.



Close