Program Belia Al-Wahdah perkasa ukhuwah, jati diri belia masjid





Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman



BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 29 Januari. - Seramai 40 murid daripada Sekolah Ugama Kampung Bolkiah menyertai Program Belia Al-Wahdah yang diadakan di Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Kampung Bolkiah 'A', hari ini.


Program Belia Al-Wahdah merupakan program yang memfokuskan kepada penyatuan Ukhuwah Belia melalui pendekatan latihan dan pelaksanaan program secara berpasukan.


Program ini dianjurkan oleh Belia Imtiyaz dan disokong oleh Majlis Belia Brunei (MBB) dan Masjid YSHHB bersempena Day of Action bagi memperkasa pembangunan belia masjid secara berterusan dan juga bersempena serta 25 Tahun Sambutan Jubli Perak Masjid YSHHB. 


Antara pengisian program adalah Sesi Ceramah yang disampaikan oleh Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Awang Haji Md. Khairul Mu'az bin Haji Sibodaud dan diteruskan dengan aktiviti-aktiviti 'teambuilding' dan kerja berpasukan.


Pelaksanaan Program Belia Al-Wahdah dihasrat untuk melatih Ahli Jawatankuasa (AJK) untuk mengurus dan melaksanakan program bagi membina kefahaman peranan serta kemahiran praktikal.


Penekanannya adalah terhadap pembentukan ukhuwah, kerjasama dan kesatuan, selaras dengan matlamat melahirkan belia yang berdisiplin, bertanggungjawab dan berakhlak. 


Di samping itu, ia juga bagi mengukuhkan ukhuwah dan hubungan silaturahim dalam kalangan para peserta dan AJK Program serta mendedahkan AJK Program kepada tanggungjawab dan amanah dalam melaksanakan program.



Close