Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 29 Januari. - Sesi Perjumpaan Muhibah antara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) bersama Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) diadakan pada pagi tadi bertempat di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan MTIC.
Rombongan Ahli-ahli MMN diketuai oleh Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ketua Kampung Belimbing.
Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dalam ucapan alu-aluannya memperkenalkan Pelan Strategik baharu MTIC bagi tempoh lima tahun iaitu tahun 2026 hingga 2030, yang juga dikenali sebagai MTIC 2030.
Dengan berakhirnya Pelan Strategik MTIC 2025, jelas Yang Berhormat, MTIC kini berada di satu titik kritikal atau persimpangan yang amat penting untuk menilai semula hala tuju sektor pengangkutan dan infokomunikasi dalam merangka pelan yang lebih bersedia menghadapi era kecerdasan (intelligent era) serta kemunculan teknologi baharu.
Ini juga, ujar Yang Berhormat, bertujuan untuk terus memacu keterhubungan dan ketersambungan dari segi pengangkutan serta infokomunikasi untuk semua secara inklusif, di samping menyahut keperluan dan jangkaan rakyat yang semakin berkembang.
"Maka dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, peramba/saya dengan penuh hormat dan takzim ingin memperkenalkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat, Pelan Strategik Baharu MTIC bagi tempoh lima tahun akan datang.
"Penyediaan Pelan Strategik MTIC 2030 ini disusun dengan mengambil kira segala pencapaian, cabaran serta pengajaran, iaitu 'lessons learnt' daripada pelaksanaan pelan strategi terdahulu," kata Yang Berhormat.
Yang Berhormat menambah, MTIC telah memperbaharui pendekatannya dengan matlamat yang lebih realistik, bertujuan untuk terus menyejajarkan dengan matlamat dan sasaran jangka panjang seperti yang terkandung dalam Wawasan Brunei 2035, Pelan Induk Negara iaitu National Blueprints serta pelan-pelan tindakan yang berkaitan.
"Selain itu, MTIC 2030 turut melibatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan bagi memahami dengan lebih mendalam akan isu dan keperluan rakyat dan negara yang sebenar," kata Yang Berhormat.
Pelan Strategik tersebut juga, kata Yang Berhormat, mengambil kira hasil perbincangan serta cadangan dan buah fikiran daripada Ahli-ahli MMN semasa Permesyuaratan MMN yang lepas.
Terdahulu, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian Ahli-ahli MMN meluangkan masa menghadiri Sesi Perjumpaan Muhibah tersebut, yang mencerminkan sokongan serta kerjasama erat dalam membentuk hala tuju sektor pengangkutan dan infokomunikasi negara.
Yang Berhormat menegaskan bahawa hala tuju MTIC adalah berpaksikan kepada Wawasan Brunei 2035 khususnya melalui penglibatan dalam pelaksanaan Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint, dengan MTIC memainkan peranan sebagai pemudah cara kepada pembangunan modal insan, ekosistem digital, keterhubungan dan perkhidmatan logistik.
Yang Berhormat turut merumuskan kemajuan MTIC sepanjang tahun 2025 antaranya melibatkan aspek keselamatan pengangkutan dan siber, pendigitalan perkhidmatan, pemodenan sistem maritim serta pelaksanaan inisiatif yang menyumbang kepada ekonomi dan peningkatan hasil negara.
Selain itu, Yang Berhormat juga mengongsikan perkembangan projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 (RKN 12) yang berada di bawah MTIC termasuk status projek perkhidmatan pengangkutan awam.
Rundingan sedang berjalan bersama syarikat yang telah disenarai pendek ke arah pemantapan pelan operasi, struktur pembiayaan serta perangkaan perjanjian perkhidmatan.
Dalam ucapan balas, Yang Berhormat Awang Haji Daud mewakili Ahli-ahli MMN mengucapkan tahniah kepada MTIC atas pelancaran Pelan Strategik baharu kementerian berkenaan iaitu MTIC 2030.
"Pelan ini mencerminkan perancangan yang tersusun, berpandangan jauh dan selari dengan keperluan semasa serta cabaran masa hadapan dalam bidang pengangkutan dan infokomunikasi.
“Ahli-ahli MMN menyambut baik aspirasi dan fokus strategik yang digariskan khusus dalam usaha menpertingkatkan kecekapan perkhidmatan, memanfaatkan teknologi serta memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif," kata Yang Berhormat.
Sesi Perjumpaan Muhibah berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Muhd Zakaria bin Haji Mohd Salleh.
Sesi tersebut turut membuka ruang dan kesempatan bagi pertukaran pandangan serta buah fikiran secara terbuka antara MTIC dan Ahli-ahli MMN khususnya dalam merancang langkah-langkah ke hadapan ke arah mencapai cita-cita kemajuan Negara Brunei Darussalam, di samping meneliti cadangan serta pandangan Ahli-ahli Yang Berhormat bagi terus menyokong visi dan hala tuju kementerian berkenaan.
Rombongan Ahli-ahli MMN juga berkesempatan meninjau pameran maklumat khususnya mengenai Ristaan Utama 2025 yang menumpukan kepada pencapaian MTIC sepanjang tahun 2025, projek-projek RKN 12 di bawah MTIC, Pelan Tindakan Keselamatan Jalan Raya 2030 serta pengenalan Brunei Identiti Digital (BruneiID).
Turut hadir dalam Sesi Perjumpaan Muhibah tersebut ialah Setiausaha Tetap MTIC, Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) MTIC, Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; ketua-ketua eksekutif autoriti dan pihak berkuasa; Pesuruhjaya Interim Cyber Security Brunei (CSB), pengarah-pengarah jabatan, ketua-ketua bahagian dan unit; serta pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai MTIC dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.