Oleh : Aimi Sani / Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BERAKAS, Selasa, 27 Januari. - Seramai 21 ahli kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) yang terdiri daripada 12 atlet dan sembilan pegawai termasuk Chef de Mission, Ketua Urus Setia, Pegawai Urus Setia atau Safeguarding, Fisioterapi, Jurulatih dan Penolong Jurulatih telah kembali ke NBD selepas berada di Nakhon Ratchasima, Thailand bagi menyertai kejohanan Sukan Para ASEAN Ke-13, Tahun 2025.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menyambut ketibaan kontinjen negara dan seterusnya mengalungkan sesandang serta memberikan ucapan tahniah, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Belia dan Sukan.
Kontinjen NBD berjaya meraih sebanyak satu pingat emas, tiga pingat perak dan dua pingat gangsa melalui sukan tenpin boling dan olahraga.
Atlet tenpin boling berjaya membawa pulang satu pingat emas melalui Awang Kamarul Ariffin bin Haji Abd. Ghaffar dalam acara TPB2 Tenpin Bowling Single; manakala satu pingat perak juga melalui Awang Kamarul Ariffin dan Awang Saidin bin Awang Haji Damit bagi acara TPB2 + TPB2 Tenpin Bowling Double; manakala satu pingat gangsa melalui Awang Saidin bagi acara TPB2 Tenpin Bowling Single.
Sementara, atlet olahraga berjaya meraih dua pingat perak menerusi Awang Haji Mohd. Rudy Izman bin Awang Haji Badar dalam acara Men Shot Put F53, F54 dan Dayang Nor Hensan binti Haji Mataha bagi acara Women Shot Put F11.
Manakala, satu pingat gangsa pula diraih melalui acara Men's Javelin F34 Para Athletic menerusi Awang Alihan bin Muda.
Kontinjen NBD telah diketuai oleh Chef de Mission Kontinjen NBD ke Sukan Para ASEAN Ke-13 2025, Thailand, Awang Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.
Dalam pada itu, Chef de Mission Kontinjen NBD ke Sukan Para ASEAN Ke-13 2025 di Thailand, ketika ditemui menyatakan rasa amat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh para atlet negara.
Beliau turut menjelaskan bahawa antara cabaran utama yang dihadapi sepanjang kejohanan berkenaan ialah beberapa negara lain menghantar atlet-atlet yang lebih muda.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar lebih ramai atlet muda dari NBD dapat menyertai perlawanan-perlawanan akan datang.