Usaha bersama perkasa hubungan dua hala





Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said



JERUDONG, Selasa, 27 Januari. – Suruhanjaya Tinggi Republik India di Negara Brunei Darussalam (NBD) malam ini menganjurkan Majlis Resepsi sempena Sambutan Hari Republik India Ke-77 berlangsung di Dewan Tarindak D'Polo, Royal Berkshire Hall, di sini.


Hadir mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha bersama Datin.


Acara dimulakan dengan Lagu Kebangsaan NBD 'Allah Peliharakan Sultan' dan Republik India, diikuti ucapan alu-aluan dari Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke NBD, Tuan Yang Terutama Ramu Abbagani.


Dalam ucapan Tuan Yang Terutama antara lain mengongsikan perjalanan bersejarah Republik India dan pencapaian utama selama beberapa dekad terakhir.


TYT juga menekankan lawatan bersejarah Perdana Menteri Republik India, Tuan Yang Terutama Shri Narendra Modi ke NBD pada September 2024 lalu sempena Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Diplomatik Republik India-NBD yang mana memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dua belah pihak tersebut.


Seterusnya, lawatan terkini delegasi Pertahanan dari Republik India ke NBD untuk menandatangani Terma Rujukan mengenai Kumpulan Kerja Bersama dan mengadakan mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama yang pertama di New Delhi juga turut diketengahkan dalam ucapan TYT.


Semasa majlis itu, Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke NBD turut menyampaikan penghargaan kepada tiga tokoh Republik India atas jasa baik mereka dalam bidang masing-masing, iaitu Dr. Thirunavukkarasu Ganesan, Profesor Dr. Nehaluddin Ahmad dan Profesor Hasnain.


Acara ini dihadiri oleh kira-kira 300 tetamu termasuk artis berbakat dari Indian Diaspora yang mempersembahkan persembahan budaya yang meriah dan demonstrasi oleh Guru Yoga baharu yang baru tiba di Suruhanjaya Tinggi Republik India, yang memukau dan menambahkan lagi suasana meriah.


Dalam pada itu, Suruhanjaya Tinggi Republik India mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang turut serta dalam Sambutan Hari Republik India Ke-77 ini sekali gus mengukuhkan lagi ikatan persahabatan dan kerjasama yang berpanjangan antara Republik India dan NBD.


Close