Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Selasa, 27 Januari. - Israk dan Mikraj Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan salah satu peristiwa penting dalam sejarah Islam.
Peristiwa berkenaan membawa mesej dakwah dan peringatan mengenai kedudukan Baginda sebagai Rasulullah, serta menyeru umat Islam untuk terus meningkatkan keimanan, ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan meneladani akhlak mulia Baginda.
Sehubungan dengan itu, dalam memperingati peristiwa agung berkenaan, Kementerian Kesihatan mengadakan Majlis Sambutan Israk dan Mikraj, bertempat di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan yang dikelolakan oleh Jabatan Teknologi Penjagaan Kesihatan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diketuai oleh Pegawai Tugas-tugas Khas, Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SkiPPA), Awang Muhammad Haziq bin Haji Awang.
Majlis diserikan lagi dengan ceramah bertajuk 'Sembahyang Teras Modal Insan Cemerlang' yang disampaikan oleh penceramah undangan, Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Mohammad Nasyith bin Superi.
Dalam ceramah berkenaan, Awang Mohammad Nasyith antara lain mengongsikan peristiwa Israk dan Mikraj jelas menggambarkan betapa pentingnya sembahyang dalam kehidupan seorang Muslim. Namun, sembahyang bukan sekadar pergerakan fizikal, malah menuntut penghayatan dan kekhusyukan.
Jelasnya, khusyuk dalam sembahyang bermaksud menghadirkan hati sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wata'ala, memahami bacaan, serta menyedari bahawa kita sedang berdiri di hadapan Tuhan Yang Maha Esa.
Dalam Surah Al-Mu'minun tambahnya lagi, Allah Subhanahu Wata'ala dengan jelas menekankan kepentingan khusyuk dalam sembahyang sebagai ciri utama orang-orang beriman.
Di samping itu katanya, ciri-ciri lain bagi orang yang berjaya di hadapan Allah Subhanahu Wata'ala termasuk orang yang meninggalkan perkara yang sia-sia, orang yang ada harta kemudian ia mengeluarkan zakat wajib dan zakat sunat, mereka yang memelihara maruahnya serta orang yang menjaga waktu sembahyang.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; ketua-ketua jabatan; pegawai-pegawai serta kakitangan di Kementerian Kesihatan.