UNISSA terus perluas jaringan antarabangsa melalui pembaharuan MoU





Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali



BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 26 Januari. - Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal telah mengadakan rangka kerja rasmi ke Kerajaan Hashemite Jordan bagi penandatanganan pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UNISSA dan tiga buah universiti terkemuka di negara tersebut, iaitu The University of Jordan, Yarmouk University dan Al al-Bayt University pada 22 Januari 2026 yang lalu.


Pembaharuan MoU ini merupakan kesinambungan kepada hubungan akademik yang telah terjalin sebelum ini dan mencerminkan komitmen berterusan UNISSA dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa khususnya dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, pertukaran akademik serta pembangunan ilmu berteraskan nilai-nilai Islam.


Melalui pembaharuan MoU ini, UNISSA dan universiti-universiti rakan strategik di Jordan akan terus memperluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pertukaran pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama, penganjuran persidangan akademik serta perkongsian kepakaran dan sumber ilmiah.


Rangka kerja ini juga memberi peluang kepada UNISSA untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan institusi pengajian tinggi di Jordan yang mempunyai reputasi antarabangsa, sekali gus menyokong usaha universiti ke arah pengantarabangsaan serta peningkatan kualiti akademik dan penyelidikan.


UNISSA komited untuk terus memperluaskan jaringan kerjasama strategik di peringkat global selaras dengan visinya sebagai pusat kecemerlangan ilmu Islam yang berdaya saing dan relevan di peringkat antarabangsa.​


Close