Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
TUTONG, Isnin, 26 Januari. - Bersempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong (MHBPT) yang bakal menjangkau usia 60 tahun pada tahun ini, sejak dibuka rasmi pada 9 Jamadilawal 1386 Hijrah bersamaan dengan 26 Ogos 1966 Masihi, Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Intan MHBPT dan Pelan Strategik MHBPT 2026 - 2030 telah diadakan di Dewan Utama masjid berkenaan, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis pelancaran berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan isteri.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam MHBPT, Awang Sahibol Omar bin Haji Yussof dan diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan oleh Pegawai Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SkiPPA) MHBPT, Awang Abdul Hafiz bin Haji Abd. Kadiroshman.
Dalam ucapan alu-aluan Penasihat Jawatankuasa Takmir MHBPT, Awang Haji Azhar bin Haji Yahya, juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Pandu Sambutan Jubli Intan MHBPT, antaranya menyentuh serba sedikit mengenai sejarah dan perkembangan MHBPT sejak 60 tahun sehingga sekarang.
MHBPT telah dirasmikan pada 26 Ogos 1966 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang pada ketika itu baginda bergelar Yang Teramat Mulia Seri Paduka Duli Pengiran Muda Mahkota Hassanal Bolkiah.
Beliau antaranya juga mengongsikan MHBPT adalah masjid utama di Daerah Tutong yang merupakan ibarat sinaran cahaya dan lambang Islam yang kuat di daerah berkenaan sejak penubuhannya.
Penubuhan masjid berkenaan bukan sahaja dihasratkan sebagai sebuah tempat beribadat tetapi juga dimanfaatkan untuk pelbagai program dan aktiviti bagi memperkukuh hubungan antara penduduk dan masyarakat dan tumpuan bagi acara-acara keraian dan sambutan hari-hari kebesaran Islam dan negara.
Oleh itu, tambah Awang Haji Azhar lagi, Sambutan Jubli Intan Masjid berkenaan yang bakal diraikan nanti itu sangat bermakna dan menggambarkan rasa penghargaan kepada semua pihak termasuk mantan-mantan imam, bilal, ahli-ahli jawatankuasa takmir yang lalu dan juga penduduk sekitar masjid ini atas segala pencapaian yang telah diraih selama ini.
Dalam pada itu, majlis tersebut juga diselajurkan dengan pelancaran Pelan Strategik MHBPT 2026-2030 yang dihasilkan sebagai panduan hala tuju dan perancangan jangka sederhana merangkumi aspek pentadbiran, pengimarahan, pendidikan, kebajikan serta pembangunan komuniti.
Pelan strategik ini mengandungi pelbagai program dan inisiatif yang lebih bersistematik dan terancang bagi tahun 2026 hingga 2030 dengan harapan agar MHBPT dapat mencapai kecemerlangan dalam semua aspek sekali gus menjadi inspirasi dan model kejayaan bagi semua masjid di Negara Brunei Darussalam.
Tetamu kehormat juga berpeluang untuk menyaksikan dan meninjau pameran masjid yang berupa beberapa koleksi keratan akhbar dan gambar-gambar lama mengenai sejarah dan perkembangan MHBPT sejak ia ditubuhkan, gambar-gambar semasa Sambutan Jubli Emas MHBPT pada tahun 2016.
Sejurus sesi pelancaran, majlis diserikan dengan tayangan montaj program Sambutan Jubli Intan MHBPT dan juga Pelan Strategik MHBPT 2026-2030 dan diikuti dengan sesi penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat majlis.
Antara yang turut hadir bagi sama-sama menyaksikan keindahan majlis pelancaran berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan, ketua-ketua imam masjid-masjid Daerah Tutong, mantan imam-imam dan jemaah serta masyarakat di sekitar MHBPT.
Di samping itu, dalam usaha berterusan untuk memupuk budaya dan sikap menjaga kebersihan dan kesucian masjid, Kempen Kesedaran Kebersihan telah dilancarkan oleh satu pasukan di MHBPT yang dikenali sebagai Kumpulan Sahabat Masjid.
Pelbagai program dan aktiviti telah dirancangkan di sepanjang tahun 2026 dengan acara kemuncak Sambutan Jubli Intan MHBPT akan diadakan pada bulan Ogos 2026.