Meningkatkan kesedaran kepentingan menjaga kebersihan





Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas



TEMBURONG, Sabtu, 24 Januari. - Kementerian Kesihatan melalui Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan (JIIK) menganjurkan Kempen Kebersihan Senegara bertempat di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rataie, Mukim Bokok, Daerah Temburong.


Kempen berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Kesihatan dalam memperkukuh kebersihan persekitaran sebagai langkah pencegahan penyakit bawaan persekitaran serta pemeliharaan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.


Hadir menyempurnakan kempen berkenaan, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif, mewakili Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.


Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diteruskan dengan sesi Warming-Up dan Cooling Down.


Kempen berkenaan melibatkan pembahagian kawasan pembersihan mengikut beberapa zon yang telah ditetapkan, dengan Dewan Kemasyarakatan sebagai tempat pusat berkumpul.


Kempen Kebersihan Senegara telah dirasmikan pada 4 November 2023 di Daerah Tutong.


Kempen yang diadakan di Daerah Temburong berkenaan merupakan pusingan kedua pelaksanaan Kempen Kebersihan Peringkat Daerah oleh Kementerian Kesihatan.


Selain meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan persekitaran yang bersih, kempen berkenaan juga menyumbang kepada kesihatan dan keselamatan masyarakat serta mengurangkan risiko isu-isu kesihatan awam serta menggalak perubahan tingkah laku yang berkekalan dalam mengamalkan tabiat hidup bersih dalam kalangan masyarakat.


Kempen berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat kampung mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar. Ia juga menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam usaha membersihkan kawasan kampung dengan penglibatan aktif Penghulu dan Ketua Kampung, serta tidak tertumpu kepada sektor kerajaan semata-mata.


Antara objektif utama kempen berkenaan diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran penduduk kampung mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan melibatkan serta menggalakkan masyarakat kampung menyertai aktiviti berkaitan kebersihan.


Selain itu, ia juga untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat demi kesejahteraan masyarakat serta memperkasa rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat terhadap pemeliharaan alam sekitar melalui pengurusan pembuangan sampah yang betul.


Kementerian Kesihatan berharap agar kempen seumpama berkenaan akan dapat diteruskan secara berterusan oleh masyarakat setempat, bukan sahaja semasa penganjuran kempen, tetapi sebagai satu amalan harian bagi memastikan persekitaran kampung yang bersih, selamat dan sihat demi kesejahteraan bersama.


Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Md. Khalifah bin Pengiran Haji Ismail, ketua-ketua jabatan, berserta pegawai-pegawai, kakitangan di Kementerian Kesihatan; Penghulu-penghulu Mukim, Ketua Kampung, dan para penduduk di RPN Kampung Rataie, Mukim Bokok, Daerah Temburong.


Close