Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
JERUDONG, Sabtu, 24 Januari. – Dengan hasrat untuk menjadikan galeri koleksi peribadi sebagai salah satu pakej destinasi bagi kunjungan golongan pelancong dalam dan juga luar negara yang terdapat di Kampung Jerudong 'B', pagi tadi telah melakar satu detik berharga apabila berlangsungnya Majlis Pembukaan Rasmi Mini Muzium Majlis Perundingan Kampung (MPK) Jerudong 'B' bertempat di salah sebuah kediaman persendirian yang terletak di No.12, Simpang 396-53-12, Kampung Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis berkenaan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, juga Ketua Kampung Putat, Daerah Brunei dan Muara.
Turut hadir bagi mengalu-alukan kehadiran tetamu kehormat majlis, Pemangku Ketua Kampung Jerudong 'B', Awang Kamis bin Panjang, juga selaku Pengerusi MPK Jerudong 'B' serta Ahli-ahli MPK Jerudong 'B'.
Berkesempatan ditemu bual oleh Pelita Brunei, Awang Kamis antaranya mengongsikan serba sedikit latar belakang dan sejarah mini muzium berkenaan.
Menurutnya, mini muzium berkenaan merupakan milik Dayang Hajah Halimah @ Erna binti Haji Ahmad dan keluarga di mana pada asalnya mini muzium itu sudah dibukakan untuk kunjungan orang ramai sejak Jun 2015.
Tambahnya, Dayang Hajah Halimah @ Erna telah mengumpul dan menyimpan barangan koleksi antik beliau sejak zaman kanak-kanak sehingga sekarang.
"Antara barangan koleksi antik yang tersimpan di mini muzium berkenaan termasuklah sebuah enjin motor sangkut berjenama 'Seagull' lama yang masih berfungsi, pasu dan tajau, seterika arang, seramik kaban besi, peti televisyen, alat perakam radio dan piring hitam.
"Selain itu, pelbagai jenis alat mempertahankan diri seperti keris, pedang dan samurai, barangan tembaga tempatan dan juga yang berasal dari luar negara, mata wang kertas dan syiling lama, barangan kenangan dan cenderahati, pelbagai jenis jam dinding dan jam tangan serta alat muzik tradisional seperti gong dan gulintangan merupakan antara yang turut dipamerkan dalam mini muzium tersebut," ujarnya.
Awang Kamis menjelaskan, mini muzium berkenaan telah banyak menerima kunjungan lawatan daripada golongan penduduk dalam negara terutama pegawai dan kakitangan kerajaan yang mengikuti kursus sebelum bersara yang dikendalikan oleh Institut Perkhidmatan Awam (IPA), penuntut-penuntut sekolah dan tidak kurang juga para pelancong dari luar negara.
Hari ini tambahnya, adalah hari yang bersejarah di mana galeri mini muzium berkonsepkan keindahan warisan yang dimiliki oleh Dayang Hajah Halimah @ Erna telah bersetuju untuk diserapkan pentadbirannya di bawah MPK Jerudong 'B' sebagai Satu Kampung Satu Produk (1K1P).
Jelasnya lagi, dengan pembukaan rasmi mini muzium kepunyaan Dayang Hajah Halimah @ Erna dan keuarga beliau, sememangnya menjadi harapan murni bersama di bawah MPK Jerudong 'B' agar segala usaha dan langkah dalam mempamerkan khazanah warisan ini sebagai salah satu platform keusahawanan dan menjana pendapatan beliau.
"Ini juga sejajar dengan matlamat tulus MPK Jerudong 'B' untuk terus bergerak dan berkembang ke hadapan menerusi 1K1P dan juga menjadi sebagai salah satu pakej destinasi pelancongan dari semasa ke semasa," ujar Awang Kamis di akhir temu bual.
Majlis turut menyaksikan sesi bergambar ramai dan penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat majlis serta menyaksikan ruang mini muzium berkenaan sebelum menikmati jamuan bersama.