Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 23 Januari. - Tayangan filem tempatan 'Cigu Jumat' buat kali kedua kembali ditayangkan di pawagam tempatan dengan membawa tema 'Semangat Kembali Ke Sekolah', bertujuan untuk menyuntik inspirasi serta motivasi kepada para guru dan pelajar.
Filem yang mengisahkan tentang kehidupan seorang guru ini merupakan filem tempatan pertama terbitan Seni Kreatif Production.
Watak utama, Cigu Jumat, dilakonkan oleh individu yang sama memegang peranan sebagai pengarah, penerbit serta penulis skrip filem berkenaan.
Filem 'Cigu Jumat' merupakan hasil inisiatif Authority for Info-Communications Technology Industry of Brunei Darussalam (AITI) dan mendapat sokongan dari OOPS! menerusi Program Pitch & Produce 5.0, yang bertujuan menggalakkan penghasilan karya kreatif tempatan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada tayangan berkenaan ialah Pemangku Pengarah Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Dr. Eddy Fazlin bin Haji Amdan dan isteri.
Sebelum ini, filem 'Cigu Jumat' telah mula ditayangkan pada penghujung bulan Disember 2025 bersempena Brunei December Festival 2025.
Tayangan semula filem ini bermula pada 23 hingga 28 Januari 2026, bersempena dengan musim persekolahan baharu.
Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menyaksikan filem ini di pawagam tempatan, One Cineplex, yang terletak di OneCity Shopping Complex, Jalan Utama Salambigar.