Siaran Akhbar dan Foto : Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 23 Januari. - Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sendirian Berhad (IITHSB) and Darussalam Holdings Sendirian Berhad (DHSB), mengadakan Ceramah Khas bersempena memperingati Sambutan Israk dan Mikraj Tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Dubai, Airport Mall, Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah Urusan IITHSB, Dayang Zamzaipa binti Haji Ismail; Pengarah Urusan DHSB, Awang Haji Mahmud bin Haji Mohamed.
Majlis juga dihadiri oleh pegawai dan kakitangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya serta diadakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan organisasi dalam memupuk kesedaran kerohanian serta memperkukuhkan penghayatan nilai-nilai Islam dalam persekitaran kerja.
Ceramah khas bertemakan 'Sembahyang Teras Modal Insan Cemerlang' disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Mohammad Nasyith bin Superi yang antara lain menekankan penghayatan peristiwa Israk dan Mikraj serta kepentingan ibadah sembahyang sebagai asas pembentukan disiplin, keimanan, dan kesejahteraan rohani.
Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya dalam menyokong pembentukan budaya kerja yang berteraskan nilai-nilai Islam serta keseimbangan antara tuntutan profesional dan kerohanian.