Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 23 Januari. - Majlis Ilmu Kumpulan Ta'lim Darussalam petang tadi mengadakan Majlis Ilmu Husnul Khatimah Dambaanku bertempat di Pusat Da'wah Islamiah, di sini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Dayang Hajah Norazimah binti Haji Abu Bakar.
Seterusnya diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Ketua Kumpulan Ta'lim Darussalam, Dayang Hajah Siti Mariam binti Haji Md. Ja'afar.
Dalam ucapannya menyatakan Ta'lim Darussalam merupakah sebuah kumpulan 'informal' muslimah yang telah ditubuhkan pada tahun 2021.
Sejak dari itu, Ta'lim Darussalam katanya, terus menjalankan beberapa program pengajian secara online dan offline seperti program Tahsin, Tadaraus, Taddabur dan Tazkirah bersama para Asatizah tempatan dan luar negeri.
Pada majlis itu diserikan dengan tazkirah bertajuk 'Husnul Khatimah Dambaanku' yang disampaikan oleh Pensyarah, Fakulti Undang-Undang, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Widad binti Profesor Madya Dato Dr. Haji Abdul Aziz Hanafi yang antaranya menyeru kita untuk membaca Sayyidul Istifghfar yang merupakan cara kita Husnul Khatimah selain memperbanyakkan amalan kebaikan di dunia.
Majlis kemudian diteruskan dengan persembahan Selawat yang dibawakan oleh Kumpulan Ta'lim Darussalam dan diakhiri dengan Doa Penutup oleh Dr. Widad.
Dengan adanya majlis ini diharap akan dapat menjadi wadah untuk kita mendapat banyak lagi panduan dan rahmat dalam menggapai Husnul Khatimah.