Kementerian Pertahanan adakan Sambutan Israk Mikraj



​​


Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman



BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 23 Januari. - Kementerian Pertahanan pagi tadi mengadakan Majlis Sambutan Israk dan Mikraj bagi Tahun 1447 Hijrah bertempat di Masjid Kampung Belimbing, Subok.


Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei, pegawai-pegawai kanan dan warga Kementerian Pertahanan.


Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah, diikuti kuliah subuh bertajuk 'Sembahyang Modal Teras Insan Cemerlang' yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Jabatanarah Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMA'AT ABDB), Awang Mohammad Rif'at Atiyah bin Anwari.


Sejurus itu, program diteruskan dengan bacaan tadarus Al-Quran, Solat Sunat Isyraq, Solat Sunat Hajat dan Solat Sunat Dhuha serta bacaan Doa Selamat dan Kesyukuran Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Kampong Belimbing, Subok, Pengiran Haji Muhammad Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar.


Antara perisian majlis ini ialah penyampaian Derma Tabung Infaq ABDB kepada 22 orang anak yatim dari Kampung Belimbing dan Kampung Subok yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, serta penyerahan wakaf satu set tempat pemandian jenazah dari Masjid Kampung Belimbing, Subok kepada pihak ABDB yang akan disimpan di Bilik Jenazah, Surau Al Quwwah, Perkhemahan Bangar.


Turut diundang sebagai jemputan khas di majlis ini ialah Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, serta jemputan-jemputan yang lain.


Majlis Sambutan Israk dan Mikraj ini turut dilaksanakan secara serentak di kesemua surau Perkhemahan ABDB, termasuk Masjid Pulau Baru-Baru.


Close