Kepimpinan akar umbi perlu sentiasa diperkukuh




Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman





TEMBURONG, Khamis, 22 Januari. - Peranan penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung pada hari ini telah berubah dengan jelas iaitu selari dengan perubahan Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung yang telah dikuatkuasakan.


Tujuan utama Skim Perkhidmatan ini ialah bagi mempertingkat, memperkukuh dan memantapkan lagi kewibawaan, mutu atau kualiti kepimpinan serta keberkesanan Institusi Penghulu dan Ketua Kampung sebagai teras kepimpinan akar umbi.


“Dengan erti kata yang lain, Institusi Penghulu dan Ketua Kampung yang diakui atau diiktiraf sebagai teras kepimpinan akar umbi yang berwibawa adalah perlu sentiasa diperkukuh dan dimantapkan demi menjamin kepimpinan yang bermutu lagi berkesan di peringkat akar umbi," demikian ujar Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Lantikan Penghulu Mukim Zon 1, Ketua Kampung Amo, Mukim Amo dan Ketua Kampung Bokok, Mukim Bokok Daerah Temburong bertempat di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Temburong, hari ini.


Oleh itu, tambah Awang Abdul Walid, penyandang jawatan penghulu dan ketua kampung yang telah dilantik hendaklah individu-individu yang berkebolehan membawakan kepimpinan yang berkesan dan berkualiti itu kepada anak buah masing-masing di mukim dan di kampung.  Kepimpinan ini adalah penting dalam sama-sama menangani cabaran monumental iaitu cabaran merealisasikan Wawasan Brunei 2035.


Dalam mencapai Wawasan Brunei 2035, ujarnya, KHEDN telah melaksanakan Petunjuk Prestasi Utama (KPIs) Penghulu Mukim dan Ketua Kampung mulai Februari 2024.


Tambah beliau, ia adalah merupakan kaedah mengukur pencapaian prestasi atau tahap pencapaian setiap penghulu mukim dan ketua kampung sebagai mata, telinga dan lidah kerajaan dan penduduk mukim dan kampung dalam menjaga serta mengawasi kepentingan, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan kampung berbanding sasaran yang ditetapkan berasaskan 'performance-based'.


Acara kemudiannya menyaksikan Majlis Penyampaian Sijil Lantikan dan bacaan ikrar serta Majlis Menandatangani Ikrar.


Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan daripada Penghulu Mukim Tingkat III, Mukim Zon 1, Awang Arbi bin Haji Shahari, selaku wakil Penghulu Mukim dan ketua-ketua kampung yang telah dilantik.


Majlis seterusnya beredar ke kediaman penghulu mukim dan ketua-ketua kampung bagi Perasmian Papan Tanda Penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung yang telah dilantik.


Turut hadir, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar; Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau; Pegawai-pegawai Kanan di KHEDN, pemangku penghulu mukim, ketua-ketua kampung, pemangku ketua-ketua kampung dan Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta penduduk-penduduk Mukim Zon 1 (Bangar, Batu Apoi dan Labu), Kampung Bokok dan Kampung Amo.

Close