Ujian HPV perkukuh pencegahan kanser serviks




Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 22 Januari. - Bulan Januari adalah Bulan Kesedaran Kanser Serviks yang disambut setiap tahun di seluruh dunia dengan tujuan untuk meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai kanser serviks, langkah pencegahannya, dan kepentingan pemeriksaan saringan secara berkala. Kanser serviks adalah salah satu punca kematian dalam kalangan wanita di seluruh dunia.


Di Negara Brunei Darussalam (NBD), kanser serviks kini menjadi kanser yang kelima paling tinggi dalam kalangan wanita, berbanding pada tahun 2009, di mana ia adalah kanser yang kedua paling tinggi dalam kalangan wanita.


Penurunan kadar insiden ini dikaitkan dengan pengenalan Program Pencegahan dan Kawalan Kanser Serviks Kebangsaan yang telah bermula sejak tahun 2009. Program ini bertujuan untuk mencegah serta mengurangkan morbiditi dan kematian akibat kanser serviks.


Dalam perutusan sempena Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengongsikan, antara inisiatif utama di bawah Program Pencegahan dan Kawalan Kanser Serviks Kebangsaan ini ialah penubuhan National Pap Test Registry pada tahun 2011.


“Melalui inisiatif ini, pendekatan saringan kanser serviks oportunistik telah digantikan dengan sistem yang lebih teratur, di mana wanita berumur di antara 20 hingga 65 tahun dijemput untuk menjalani pemeriksaan serviks secara rutin setiap tiga tahun melalui surat jemputan yang dikirimkan melalui pos," jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.


Dalam masa yang sama, tambah Yang Berhormat, Program Vaksinasi Humanpapilloma Virus (HPV) turut diperkenalkan pada tahun 2011, yang menawarkan vaksinasi HPV kepada semua wanita sehingga umur 45 tahun.


Menurut Yang Berhormat, pada tahun 2012, program ini diperluaskan secara 'school-based' di seluruh negara dengan sasaran remaja perempuan di Tahun 7 sekolah menengah. Dari tahun 2012 hingga 2021, vaksin 'bivalent' dan 'quadrivalent' telah digunakan, manakala sejak tahun 2022 pula, vaksin 'nonavalent' telah mula digunakan.


Yang Berhormat berkata, jenis dan dos vaksin yang diberikan adalah bedasarkan amalan berasaskan bukti serta ketersediaan vaksin. Liputan vaksin HPV di NBD adalah tinggi dan konsisten, iaitu melebihi 90 peratus setiap tahun, sejajar dengan sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menetapkan 90 peratus remaja perempuan berumur 15 tahun divaksin sepenuhnya.


Seiring dengan perkembangan teknologi, pada bulan Ogos 2024, Kementerian Kesihatan ujar Yang Berhormat telah mula memperkenalkan ujian HPV sebagai kaedah utama (primary test) saringan kanser serviks, menggantikan Ujian Pap yang digunakan sebelum ini.


“Ujian HPV merupakan kaedah berteknologi tinggi yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mampu mengesan jangkitan HPV berisiko tinggi seperti HPV 16 dan HPV 18 sebelum berlakunya perubahan pada sel-sel serviks.


“Berbeza dengan Ujian Pap yang hanya mengesan selepas perubahan sel berlaku, ujian HPV menawarkan pengesanan lebih awal. Selain itu, pengambilan sampel bolehlah dilakukan oleh wanita itu sendiri (self-sampling), tanpa penggunaan 'speculum', yang mana ia dapat memberikan fleksibiliti dan privasi yang lebih tinggi kepada setiap wanita dan ia dijangka dapat meningkatkan kadar penyertaan saringan kanser serviks dalam kalangan wanita," ujar Yang Berhormat.


Sementara itu, Kementerian Kesihatan tambah Yang Berhormat, turut mengemas kini dan melancarkan Garis Panduan Pencegahan dan Kawalan Kanser Serviks Kebangsaan pada Januari 2025.


Garis panduan ini berfungsi sebagai satu dokumen rujukan teknikal yang komprehensif bagi profesional kesihatan dan penggubal dasar, selaras dengan amalan berasaskan bukti (evidence-based practices) dan saranan terkini.


Garis panduan ini jelas Yang Berhormat, merangkumi komponen utama berkaitan pencegahan, pengesanan awal, serta pengurusan klinikal kanser serviks yang dapat dijadikan sebagai amalan klinikal dan pendekatan rawatan bagi kanser serviks, sekali gus bagi memperkukuhkan usaha pencegahan dan kawalan penyakit tersebut di NBD.


Di samping itu, kata Yang Berhormat, satu lagi inisiatif baharu telah diperkenalkan melalui aplikasi BruHealth ialah ciri penilaian risiko kanser serviks. Melalui ciri ini, setiap wanita yang memenuhi kriteria bolehlah menjawab beberapa soalan saringan bagi menentukan sama ada ujian HPV adalah disarankan ataupun tidak. Wanita yang disyorkan untuk menjalani ujian HPV seterusnya boleh membuat perjanjian sendiri melalui aplikasi BruHealth.


Sejajar dengan Global Strategy to Accelerate the Elimination of Cervical Cancer as a Public Health problem, WHO, jelas Yang Berhormat, telah menetapkan sasaran 70 peratus wanita disaring menggunakan kaedah yang berteknologi tinggi pada umur 35 tahun dan sekali lagi pada usia 45 tahun.


Sebelum pengenalan Ujian HPV, tahap penyertaan atau liputan penyaringan kanser serviks dengan menggunakan Ujian Pap adalah lebih kurang 50 peratus pada tahun 2018.


Menurut kajian tempatan, di antara tiga sebab tertinggi ketidakhadiran Ujian Pap ialah kebimbangan terhadap keputusan yang tidak diingini, perasaan malu dan kekurangan masa disebabkan komitmen rumah tangga.


“Sejak ujian HPV ini diperkenalkan pada Ogos 2024 hingga Ogos 2025, sebanyak 9248 Ujian HPV telah dijalankan. Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding purata tahunan Ujian Pap yang dijalankan sebelum ini, iaitu kira-kira 3505 ujian setahun dari tahun 2009 hinggan 2024, serta kira-kira 3,122 Ujian Pap dari Ogos 2023 hingga Ogos 2024. Walau bagaimanapun, pemantauan dan data tambahan masih diperlukan bagi mengesahkan trend peningkatan ini.


“Secara keseluruhan, dari tahun 2009 hingga 2024, seramai 58,884 wanita telah menjalani sekurang-kurangnya satu pemeriksaan saringan kanser serviks sepanjang hayat, daripada populasi sasaran iaitu seramai 88,080. Jumlah ini menunjukkan liputan saringan kanser serviks di NBD dari tahun 2009 hingga 2024 ialah sebanyak 66.9 peratus," terang Yang Berhormat.


Dengan pengenalan ujian HPV ini jelas Yang Berhormat lagi, Kementerian Kesihatan berharap liputan saringan kanser serviks di Negara Brunei Darussalam dapat ditingkatkan lagi memandangkan kaedah ini lebih diterima oleh wanita, khususnya mereka yang kurang selesa dengan pemeriksaan menggunakan 'speculum'.


“Peningkatan liputan saringan membolehkan perubahan pra-kanser atau kanser dikesan lebih awal supaya rawatan dapat diberikan dengan segera, seterusnya mengurangkan beban penyakit.


“Oleh itu, sama-samalah kita berusaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan saringan kanser serviks," tambah Yang Berhormat mengakhiri perutusan.

 

Close