Kehakiman efisien mendukung kepelbagaian ekonomi, menarik pelaburan asing




Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya / Foto : Mohammad Hasif Matzin





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 22 Januari. - Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam (NBD) telah mengadakan Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 yang menghimpunkan ahli-ahli kehakiman serta golongan perundangan bagi menandakan permulaan tahun perundangan mahkamah.


Majlis dimulakan dengan perbarisan Kawalan Kehormatan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang diperiksa oleh Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon.


Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Ketua Hakim Mahkamah Besar, yang telah melaporkan mengenai kerja-kerja kehakiman dan penambahbaikan pada tahun lalu, serta menggariskan keutamaan-keutamaan strategik untuk tahun mendatang ini.


Yang Amat Arif dalam ucapannya, telah menggariskan sumbangan kehakiman pada Wawasan Brunei 2035 dalam mendukung kepelbagaian ekonomi dan menarik pelaburan asing.


Jelas Yang Amat Arif, kehakiman yang efisien, berkesan dan cekap yang menyelesaikan pertikaian komersial dengan pantas akan dapat memupuk keyakinan dari kalangan para pelabur dan komuniti perniagaan, dan menambah bahawa integriti kehakiman dan kecekapan yang sedemikian mengurangkan risiko komersial, menggalakkan keusahawanan, serta memberi isyarat pada komuniti perniagaan global bahawa negara ini merupakan destinasi pelaburan yang boleh dipercayai dan menarik.


Yang Amat Arif turut merujuk kepada data dari Bank Dunia di mana NBD menunjukkan kedudukan peratus kedaulatan undang-undang adalah pada tahap 79 peratus pada 2023.


“NBD mencatatkan kedudukan peratus tersebut, iaitu lebih tinggi berbanding kira-kira 79 peratus negara di seluruh dunia dalam kualiti penguatkuasaan kontrak, hak milik, pihak polis dan mahkamah.


“Ini menggambarkan kekuatan persekitaran Kedaulatan Undang-Undang negara dan menempatkannya sebanding dengan negara rakan sejawat seperti Republik Singapura (98 peratus), Jepun (92 peratus), Pentadbiran Khas Hong Kong (Hong Kong SAR - 88 peratus) dan Republik Korea (86 peratus)," kata Yang Amat Arif lagi.


Yang Amat Arif seterusnya menggariskan perkembangan utama kehakiman sepanjang tahun lalu. Yang paling utama dalam usaha-usaha berkenaan merupakan perkembangan penaiktarafan Judiciary Case Management System (JCMS 2.0) yang disasarkan pelancarannya pada 2027.


Penambahbaikan prosedur sivil kata Yang Amat Arif, juga sedang berjalan dengan kajian komprehensif sedang dilaksanakan untuk meneliti Peraturan Mahkamah Besar. Penambahbaikan insolvensi kekal menjadi keutamaan, dengan jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menilai rangka kerja kebankrapan dan insolvensi semasa, serta inisiatif keadilan keluarga juga telah berkembang dengan kumpulan kerja menilai proses-proses perceraian, pengangkatan anak dan mahkamah juvana.


Selanjutnya, dalam data jumlah kes 2025, Mahkamah Besar telah merakamkan peningkatan pemfailan sivil seiring dengan jumlah kes jenayah berskala besar.


“Mahkamah perantaraan berterusan mentadbir jumlah kerja yang signifikan, terutamanya dalam kes-kes komersial, dengan peningkatan dalam pemfailan jenayah di semua daerah, serta pengecualian kes trafik jalan raya yang mengalami penurunan secara menyeluruh.


“Dari sudut perkara kebankrapan dan insolvensi pula, sejumlah besar bilangan perintah penerimaan, perintah penghakiman dan perintah penggulungan syarikat telah diluluskan.


“Pendaftaran Perkahwinan Sivil melihat peningkatan dalam pendaftaran perkahwinan dan penurunan yang bersamaan dalam petisyen perceraian.


“Angka-angka ini menunjukkan skop kerja badan kehakiman berterusan terhadap perkhidmatan serta sumber mahkamah," ujar Yang Amat Arif.


Yang Amat Arif selanjutnya berkata, kerjasama antarabangsa dan serantau menjadi tumpuan utama dalam 2025. Pencapaian penting yang digariskan oleh Ketua Hakim merupakan Memorandum Kesefahaman (MoU) yang diperbaharui dalam kerjasama kehakiman yang ditandatangani antara Mahkamah Besar NBD dan Mahkamah Besar Republik Rakyat China.


Kehakiman juga kata Yang Amat Arif, telah mengambil bahagian dalam forum antarabangsa yang signifikan antara NBD, Malaysia dan Republik Singapura dan penglibatan pelbagai hala melalui Majlis Ketua-ketua Hakim ASEAN (CACJ) dan Persatuan Undang-undang ASEAN (ALA).


Kerjasama dua hala dengan rakan kerjasama utama iaitu Australia, Malaysia, Republik Singapura dan United Kingdom tambah Yang Amat Arif, terus diperkukuh melalui pertukaran profesional dan lawatan-lawatan.


Yang Amat Arif turut mengemas kini kerja yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Undang-undang Bersama (JLAC) yang terus berkolaborasi bekerjasama dengan Kehakiman, Pejabat Peguam Negara dan Persatuan Undang-undang dalam memperkukuh profesion perundangan.


Pencapaian utama ujar Yang Amat Arif, termasuk penyempurnaan edisi kedua Garis Panduan Anugerah Kecederaan Peribadi, perkembangan pindaan pada Akta Profesi Perundangan dan Peraturan dan sokongan projek perintis bagi Skim 'Court Friends' yang bertujuan memperbaiki akses keadilan pada litigan sendiri.


Inisiatif utama terang Yang Amat Arif lagi, bagi 2026 telah diumumkan, termasuk peningkatan pada penglibatan pelajar melalui program 'Hari Terbuka Mahkamah' yang dicadangkan dan Program perintis Latihan Industri Kehakiman yang bertujuan memupuk bakat perundangan masa depan dan memperbaiki kefahaman orang awam tentang sistem keadilan.


“Penambahbaikan keadilan juvana juga disenaraikan sebagai salah satu keutamaan, dengan penekanan pada pemulihan, amalan restoratif dan tindakan awal.


“Kehakiman juga telah menyediakan garis panduan mengenai penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) secara bertanggungjawab oleh pengguna mahkamah, dan panduan berhubung dengan kemasukan ke Badan Guaman yang akan diteliti dengan kolaborasi bersama Persatuan Undang-undang," ujar Yang Amat Arif.


Dalam mengakhiri ucapannya, Yang Amat Arif mengulang semula bahawa 'pentadbiran keadilan yang berkesan merupakan usaha kolektif seluruh komuniti'.


Yang Amat Arif juga menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada hakim-hakim, pegawai-pegawai kehakiman, kakitangan mahkamah, profesi undang-undang dan agensi pengkuatkuasa undang-undang atas dedikasi berterusan, dengan menyatakan bahawa penambahbaikan dan inisiatif-inisiatif yang digariskan untuk 2026 menggambarkan komitmen bersepadu untuk keadilan dan demi mendukung kedaulatan undang-undang di NBD.


Pada majlis berkenaan juga, Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib; dan Naib Presiden Persatuan Undang-Undang, Tuan On Hung Zheng, yang mewakili peguambela dan peguamcara di NBD turut memberikan ucapan masing-masing.


Hadir pada majlis berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Ketua Hakim Syar'ie, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, serta Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu.


Turut hadir, Duta-duta Besar, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi dan ahli-ahli diplomatik, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai-pegawai Kehakiman dari Mahkamah Sivil dan Syariah, Pejabat Peguam Negara, Persatuan Undang-undang dan ahli-ahli dari agensi penguatkuasa kerajaan serta pelajar-pelajar dari institusi pendidikan.



Close