4 pelajar sertai Persidangan SEA² 2026




Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 21 Januari. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-Sekolah telah menyelaras penyertaan empat orang pelajar Tahun 13 bersama dua orang pegawai dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS) untuk menyertai Persidangan Strategic Educational Alliance of South East Asia (SEA²) 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 24 Januari 2026 di Jakarta Nanyang High School, Jakarta, Republik Indonesia.


Sehubungan itu, hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada para peserta ialah Pemangku Pengarah Sekolah-Sekolah, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Dr. Eddy Fazlin bin Haji Amdan.


Turut hadir, pegawai-pegawai Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan serta ibu bapa dan ahli keluarga para pelajar.


Pelajar-pelajar yang mewakili Negara Brunei Darussalam ialah Rachel Pong Xue Ting, Nadia Pang binti Muhammad Rais Pang, Muhammad Adam Syafiee bin Junaidi dan Khairil Zaki bin Haji Khairul Rijal.


Para pelajar diiringi oleh guru pengiring, Dayang Ani Suryani binti Haji Bahe serta Pengetua MSPSBS, Pengiran Hajah Rahmah binti Pengiran Haji Abas selaku ketua delegasi.


Sepanjang persidangan tersebut, para pelajar dijadualkan menghadiri sesi ucaptama, membentangkan hasil kajian, menyertai forum pelajar serta merangka Deklarasi Pelajar SEA² berkaitan kecerdasan buatan dalam pendidikan.


Mereka juga akan mempamerkan budaya NBD di samping mendalami budaya dan tradisi negara tuan rumah.


Persidangan SEA² 2026 yang bertemakan 'AI: Empowering Education' menghimpunkan penyertaan sembilan buah sekolah dari NBD, Malaysia, Republik Indonesia, Republik Singapura, Thailand, Republik Filipina dan Republik Sosialis Viet Nam.


Selain menyediakan platform kerjasama serantau, interaksi pelajar serta pertukaran budaya, persidangan ini turut menawarkan pengalaman pembelajaran yang bermakna dan membuka peluang kepada perkongsian jangka panjang antara institusi pendidikan di rantau Asia Tenggara.

 

Close