Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
GADONG, Rabu, 21 Januari. - Dalam usaha untuk membuka peluang baharu dan kolaborasi bersama syarikat-syarikat tempatan, Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB) melalui Bahagian Pemasaran dan Promosi hari ini mengadakan Hari Terbuka 'RTB Prime Access' bertempat di Jade Garden, Level 2, The Centrepoint Hotel, di sini.
Hadir, Pemangku Pengarah RTB, Awang Cheong Chee Keong; wakil-wakil syarikat dan pegawai-pegawai kanan serta kakitangan RTB.
Sesi 'RTB Prime Access' berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pegawai Pentadbir Kanan dan Pemangku Ketua Bahagian Pemasaran dan Promosi, Awang Izzul Azam bin Dato Seri Paduka Haji Mohamad Roselan.
Sejurus itu, penerangan lanjut mengenai program-program RTB bagi 2026 disampaikan oleh wakil-wakil dari Bahagian Rancangan Radio, TV, Berita dan Hal Ehwal Semasa dan Bahagian Pemasaran dan Promosi.
Selain membuka peluang kepada syarikat-syarikat untuk mendapatkan pakej penajaan, objektif 'RTB Prime Access' juga adalah bagi memperkenalkan kepada syarikat-syarikat mengenai perancangan dan inisiatif RTB sepanjang 2026, khususnya program-program TV, Radio dan Berita.
Ini bertujuan bagi memudahkan syarikat-syarikat mengenal pasti program-program yang sesuai dengan strategi pengiklanan dan penajaan mereka.
Antara acara dan program anjuran RTB yang akan diadakan pada tahun ini adalah Pertandingan 'Best 914 Ke-22', 'Bintang Harmoni 2026', 'Vibe Duo', 'Pentas Seni', 'Anugerah Pelangi Ke-10' dan 'Irama dan Visual' yang termasuk dalam Program Festival Media Kreatif.
Syarikat-syarikat yang turut hadir di sesi berkenaan adalah daripada sektor perbankan, pengedar barangan runcit, kedai barangan sukan, agensi-agensi pelancongan, perusahaan minyak dan gas, perhotelan, kenderaan dan perubatan.
Syarikat-syarikat berkenaan adalah Hamitan Group Brunei, ANTA Brunei, Dynamic Sports, Satami Group, Intracorp (B) Sdn. Bhd., Cuckoo Brunei, Boeffi, Darussalam Services, Royal Brunei (RB), Sabre Network, Brunei Shell Marketing (BSM), Brunei Shell Petroleum (BSP), Wafa Hotel, Radisson Hotel, Badi'ah Hotel, GWM, Jerudong Amphitheatre (JPCC), One City dan Jerudong Park Medical Centre (JPMC).