KSSUP semarakkan Sambutan Israk Mikraj




Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 21 Januari. - Sambutan Israk dan Mikraj masih giat diadakan di kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan di negara ini.


Israk dan Mikraj bukan sekadar perjalanan luar biasa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa dan seterusnya ke Sidratul Muntaha di langit, tetapi ia juga bukti kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala serta pengukuhan iman bagi umat Islam.


Peristiwa tersebut membawa banyak pengajaran penting bagi sekalian umat Islam untuk memantapkan iman serta ketaatan dan dapat memahami lagi makna dan pengajaran penting di sebalik peristiwa itu.


Sehubungan itu, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) serta jabatan-jabatan di bawahnya pagi tadi mengadakan Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi yang diselenggarakan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan bertempat di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.


Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, KSSUP, Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, KSSUP; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan daripada KSSUP serta jabatan-jabatan di bawahnya.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ceramah khas bertajuk 'Sembahyang Teras Modal Insan Cemerlang' yang disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Awang Muhammad Nasyith bin Superi.


Majlis tersebut merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan KSSUP yang bertujuan untuk menyemarakkan lagi sambutan hari-hari kebesaran Islam, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga KSSUP serta jabatan-jabatan di bawahnya.

 

Close