Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohammad Hasif Matzin
KILANAS, Selasa, 20 Januari. - Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) petang tadi mengadakan Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin, serta Doa Khas bagi memohon kesembuhan segera dan kesihatan sempurna bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Majlis berkenaan diselajurkan dengan Doa Kesyukuran bersempena dengan Ulang Tahun Penubuhan BDCB yang Ke-15, diadakan di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas, di sini.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BDCB.
Juga hadir, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah BDCB; serta ahli-ahli lembaga pengarah, pengarah urusan, pihak pengurusan eksekutif, serta pegawai-pegawai dan kakitangan dari BDCB.
Atur cara dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat berjemaah dan bacaan Surah Yaa Siin, diikuti dengan Doa Khas dan bacaan Doa Kesyukuran yang dikepalai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Awang Adee Aiman bin Haji Muhidin.
Acara diakhiri dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah.
Majlis antara lain mencerminkan kesetiaan dan keprihatinan terhadap raja yang dikasihi, dengan bersama-sama memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar mengurniakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kesembuhan dan keafiatan yang sempurna, serta keamanan dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam, di samping menjadi satu kesempatan kesyukuran atas perjalanan BDCB sepanjang penubuhannya.