Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 20 Januari. - Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) akan secara berterusan memperkemaskan lagi usaha dengan menyemak strategi-strategi, memperkenalkan kaedah dan pendekatan baharu mengikut keperluan semasa untuk melaksanakan pembaikan-pembaikan dan perubahan berterusan serta berkesan dalam melaksanakan inisiatif, program dan projek strategik kementerian.
Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin semasa berucap pada Sesi Muzakarah KSSUP bersama Ahli-ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara (MMN) menyatakan bahawa KSSUP masih lagi tertumpu kepada tiga fokus utama seperti Meningkatkan Keluaran Industri Sumber-Sumber Utama dan Agrifood; Mendukung Kemajuan dan Pembangunan Industri Pelancongan dan Memperkukuhkan usaha dalam Pembangunan dan Pemuliharaan Sumber Hutan.
“Bagi Fokus Pertama adalah untuk Meningkatkan Keluaran Industri Sumber-Sumber Utama dan Agrifood, sejajar dengan Food Industry Roadmap yang telah dirangka, pelbagai program dan inisiatif telah dirangka, bukan saja bagi meningkatkan keluaran daripada 'industry primary' sektor makanan, seperti hasil daripada industri ternakan, tanaman dan perikanan, bahkan usaha juga turut dilipatgandakan bagi membangunkan dan mengembangkan lagi 'industry secondary' iaitu keluaran dari aktiviti-aktiviti industri pemprosesan dan nilai tambah berasaskan pertanian dan perikanan (atau agrimakanan).
“Tahun demi tahun kita dapat menyaksikan peningkatan keluaran secara keseluruhan, termasuk kejayaan mencapai tahap sara diri melebihi 100 peratus bagi ayam pedaging dan telur, serta pertumbuhan kukuh dalam sektor perikanan," jelas Yang Berhormat.
Menurut Yang Berhormat, bagi Fokus Kedua, sektor pelancongan pula, usaha-usaha kementerian ini adalah bagi mendukung Kemajuan dan Pembangunan Industri Pelancongan di negara ini dengan memfokuskan kepada pembangunan, pengukuhan serta mempromosikan produk-produk pelancongan berteraskan kebudayaan (culture), pengembaraan / aktiviti lasak (adventure) dan juga alam semula jadi (nature) ke arah memastikan industri pelancongan berkualiti tinggi, bernilai tinggi dan mampan serta meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negara ini.
“Seterusnya, bagi Fokus Ketiga, dalam sektor perhutanan, KSSUP akan terus komited dalam memastikan keperluan serta kepentingan terhadap Pembangunan dan Pemuliharaan Sumber Hutan dapat dipenuhi.
“Dalam perkara ini, pihak kementerian melalui Jabatan Perhutanan, akan terus memastikan agar usaha-usaha dalam membangun, melindungi serta memulihara sumber hutan negara akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan aktiviti-aktiviti pembangunan negara adalah selaras dengan prinsip pembangunan yang mampan (sustainable development).
“Usaha-usaha ini termasuk pemulihan hutan, pensijilan, pembangunan industri hiliran kayu, serta penerokaan mekanisme pasaran karbon sedang dilaksanakan secara berperingkat dengan asas perundangan, tadbir urus dan piawaian antarabangsa yang kukuh," ujar Yang Berhormat pada Sesi Muzakarah yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, hari ini.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, kesemua inisiatif ini dilaksanakan berlandaskan pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation, dengan kerjasama erat antara kementerian, agensi, sektor swasta, institusi kewangan, akademia dan komuniti.
“Matlamat akhirnya adalah jelas, untuk membina ekonomi sumber utama dan pelancongan yang kukuh dari segi sekuriti makanan; berdaya saing di pasaran serantau, lestari dari sudut alam sekitar; inklusif dari sudut penyertaan rakyat, dan menyumbang secara bermakna kepada kemakmuran negara di bawah Wawasan Brunei 2035," tambah Yang Berhormat lagi.
Mengakhiri ucapan, Yang Berhormat juga menegaskan bahawa keupayaan negara dalam membangunkan ekonomi bukan hanya terletak pada usaha kerajaan sahaja, tetapi juga bergantung kepada sokongan, inovasi dan daya saing sektor swasta serta rakyat keseluruhannya.