Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
TUTONG, Isnin, 19 Januari. – Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) meneruskan usaha memperkasa komuniti dan memperkukuh kesejahteraan sosial serta pembangunan negara yang inklusif di bawah inisiatif Projek Teduh dengan berlangsungnya Majlis Penyerahan sebuah lagi rumah yang dibina semula kepada sebuah keluarga di Jalan Bukit Ambog, Kampung Panchor Dulit, Daerah Tutong, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan Majlis Penyerahan berkenaan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi BIBD.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri secara rasmi telah menyerahkan rumah berkenaan kepada penerima, Awang Noor Hamzari bin Mohammad dan keluarganya.
Acara berkenaan menandakan satu lagi peristiwa penting dalam program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) utama BIBD untuk terus mengubah kehidupan melalui tindakan kolaboratif dan semangat keprihatinan bersama.
Penyerahan berkenaan berikutan kejayaan menyiapkan sebuah rumah 'Projek Teduh' yang serupa di Kampung Bukit Udal pada November 2025, sekali gus menekankan komitmen BIBD dalam menyampaikan hasil yang bermakna kepada masyarakat.
Projek kali ini yang bermula pada 5 Disember 2025 telah siap pada 15 Januari 2026, sekali gus mencerminkan keberkesanan kolaborasi pelbagai agensi dalam meningkatkan keadaan hidup golongan keluarga yang memerlukan dan juga dalam masa yang sama, menyampaikan hasil yang memberi impak kepada masyarakat.
Projek Teduh dibiayai melalui gabungan strategik dan sinergi sumber dana, mencerminkan komitmen bersama terhadap impak sosial. Sebahagian besar pembiayaan disumbangkan oleh BIBD melalui zakat perniagaan, menonjolkan dedikasi BIBD terhadap pemberian yang berteraskan matlamat.
Usaha kolektif berkenaan menunjukkan komitmen teguh BIBD dan pihak-pihak berkepentingan (stakeholders) dalam memperkasa kebajikan masyarakat melalui program CSR berasaskan nilai yang selaras dengan matlamat pembangunan negara.
Inisiatif berterusan berkenaan juga menggambarkan bagaimana keprihatinan bersama dapat mewujudkan satu impak yang berkekalan, berakar umbi dalam prinsip Maqasid Syariah dan nilai 'Bruneian at Heart', untuk meningkatkan semangat masyarakat melalui penjagaan, kolaborasi dan tujuan bersama.
BIBD turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan, Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) dan syarikat-syarikat terkemuka serta penderma-penderma individu yang berkongsi nilai dan prinsip BIBD dalam inisiatif berkenaan.