Oleh : Aimi Sani / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Isnin, 19 Januari. - Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Khas, hari ini, bagi merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala untuk mengurniakan kesembuhan yang segera, kesihatan yang sempurna dan keafiatan yang berpanjangan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Hadir pada Majlis yang diadakan di Masjid Ash-Shaliheen tersebut ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.