Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit anjur Sambutan Israk Mikraj




Siaran Akhbar dan Foto : Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 16 Januari. - Majlis Sambutan Israk dan Mikraj dan Penyerahan Surat Lantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir bagi Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit (RIPAD), Mukim Kilanas telah diadakan selepas menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah.


Majlis berkenaan berlangsung hari ini di Dewan Sembahyang Utama Masjid Duli RIPAD, Mukim Kilanas, Mukim Kilanas bersempena Sambutan Israk dan Mikraj serta penyerahan surat lantikan AJK Takmir Masjid bagi penggal 2025 hingga 2027.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.


Juga hadir, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, selaku Penaung Takmir Masjid Duli RIPAD, Mukim Kilanas, Mukim Kilanas.


Turut hadir, Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Penghulu Mukim Kilanas, Ketua-ketua Kampung Mukim Kilanas, para tetamu khas serta para jemputan.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pembantu Pegawai Masjid, Awang Ahmad Ghadafi bin Abdul Nasir, diikuti dengan persembahan bacaan Al-Quran oleh Pegawai Pelajaran, Awang Ashizal bin Zainal Abidin.


Acara diteruskan dengan Ceramah Khas sempena Sambutan Israk dan Mikraj yang disampaikan oleh Ketua Unit Pengurusan Strategik dan Jaminan Kualiti, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Haji Mohammad Khairul Azhar bin Idris.


Majlis seterusnya menyaksikan penyampaian surat lantikan kepada AJK takmir baharu, diikuti dengan persembahan tausyeh belia daripada Kumpulan Syababul Mu'min, serta penyerahan cenderamata kepada tetamu kehormat majlis.


Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan Dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Bilal Tingkat II, Awang Haji Md. Faqih bin Haji Muhd. Suni.

Close