Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
KIARONG, Jumaat, 16 Januari. - Bagi memohon kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala supaya mengurniakan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan kesembuhan yang segera, kesihatan dan keafiatan yang sempurna lagi berpanjangan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) tengah hari tadi mengadakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin, Sembahyang Sunat Hajat dan Doa Khas sebelum menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat.
Majlis berkenaan diadakan di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan beberapa tumpuan utama mengikut daerah masing-masing.
Bagi masjid tumpuan di Daerah Brunei dan Muara, majlis diadakan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, di sini.
Hadir, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Atur cara diisikan dengan bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai, diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat dan Doa Khas.
Acara kemudiannya diteruskan dengan bacaan Khutbah Khas bagi Sembahyang Fardu Jumaat yang dibacakan oleh Pemangku Pengarah, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd. Rahman.
Awang Haji Ahmad Abdussalam dalam khutbahnya menjelaskan pada saat raja kita yang dikasihi diuji dengan kesihatan dan akan menjalani rawatan yang telah dirancang awal di Jerudong Park Medical Centre (JPMC) pada Ahad, 18 Januari 2026, maka munajat rakyat kepada Allah Subhanahu Wata'ala menjadi amat penting.
Jelasnya, kesembuhan berkenaan adalah datangnya daripada Allah Subhanahu Wata'ala, dan setiap ujian pasti mengandungi hikmah.
"Diriwayatkan bahawa Khalifah Harun ar-Rasyid Khalifah Bani Abbasiyyah pernah jatuh sakit.
"Para ulama dan rakyat pada zamannya tidak berhenti mendoakan beliau," ujarnya.
Awang Haji Ahmad Abdussalam seterusnya menerangkan bahawa Imam Malik rahimahullah pernah berpesan kepada masyarakat : "Perbanyakkanlah doa untuk pemimpin kamu, kerana kebaikan pemimpin adalah kebaikan untuk seluruh rakyat."
Dengan doa dan kebergantungan kepada Allah Subhanahu Wata'ala, katanya lagi, pemimpin yang diuji akan diberi kekuatan, dan rakyat pula memperoleh keberkatan dan ketenangan.
Majlis kemudiannya diakhiri dengan Sembahyang Fardu Jumaat yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat.
Juga hadir, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap serta pegawai-pegawai dan kakitangan dari kementerian-kementerian.
Masjid-masjid tumpuan lainnya termasuk Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait, Daerah Belait; Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Daerah Tutong; dan Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong.
Marilah kita menunaikan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah bagi memohon kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala supaya mengurniakan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan kesembuhan yang segera, kesihatan dan keafiatan yang sempurna lagi berpanjangan.
Seterusnya, kita semua mendoakan agar Negara Brunei Darussalam terhindar daripada bala bencana dan dikurniakan dengan kemakmuran dan kesejahteraan.